Khamis, 2 Januari 2014

PKR S'gor gerakkan anak muda ke demo wartawan

MALAYSIAKINI




PKR Selangor berikrar menggerakkan pelbagai pihak, terutamanya anak muda supaya menyertai “Protes Pensil Merah” anjuran sekumpulan wartawan bagi menuntut kebebasan media di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.


Setiausaha PKR negeri Amiruddin Shari (kiri) berkata, perhimpunan anjuran perkumpulan longgar wartawan Gerakan Media Marah (GERAMM) itu perlu disertai sebagai membantah kekangan kerajaan pada kebebasan media.

Beliau juga percaya, penggantungan The Heat – yang membangkitkan kemarahan wartawan – disebabkan laporan muka depannya berhubung perbelanjaan mewah perdana menteri dan isterinya Rosmah Mansor.

“...(Ia juga) turut menzahirkan realiti bahawa di saat rakyat sengsara berdepan dengan pelbagai beban kenaikan, pimpinan tertinggi negara masih tegar berbelanja secara mewah dan boros,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves itu.

KDN pada 30 Disember lalu menafikan penggantungan itu ekoran artikel bertajuk "All eyes on big-spending PM Najib" dan memberikan alasan pelanggaran peruntukan permit penerbitan.

Protes kumpulan wartawan pada Sabtu ini akan diadakan di depan Majlis Peguam, Leboh Pasar Besar, Kuala Lumpur pada jam 2 petang.

Matinya kebebasan media

Mereka merancang memakai baju merah dan membawa pensel dengan warna sama untuk dipatahkan sebagai lambang matinya kebebasan media di Malaysia.

GERAMM mengemukakan lapan tuntutan, antaranya membatalkan penggantungan The Heat dan menyiasat semula dengan rapi insiden keganasan polis terhadap wartawan dalam perhimpunan BERSIH 3.0.

Dalam kenyataannya hari ini, Amiruddin juga berkata, kekangan media makin ketara kerana kerajaan cuba menutup kemelut kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dari hari ke hari.

“Tatkala rakyat dihimpit dan dibebankan dengan pelbagai kenaikan, kerajaan dilihat seolah-olah tidak mempedulikan rungutan massa, sebaliknya muncul beberapa anggota kabinet kerajaan yang mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan meremehkan kesengsaraan yang ditanggung rakyat,” katanya.

Justeru, tambahnya, laporan “pemborosan” itu seperti dilakukan The Heat dan liputan media lain perlu dibahas dan didedahkan ke pengetahuan khalayak.

“Isu ini bukan sekadar berkisar tentang kebebasan media bahkan turut melibatkan kepentingan rakyat terbanyak khususnya pada masa sekarang di mana akses kepada maklumat adalah hak asasi kepada setiap rakyat,” katanya.

Pemuda PAS: GERAMM ada alasan kukuh

Sementara itu, Pemuda PAS hari ini turut menyatakan sokongannya terhadap perhimpunan anjuran GERAMM itu atas alasan membela golongan tertindas dan “menghambat mereka yang zalim dan bertindak keterlaluan”.

“Dalam hal ini, GERAMM ada asas yang kukuh mengadakan demonstrasi tersebut dan mereka berhak menyatakan sikap mereka apatah lagi ia berhubung kait dengan hak dan kebebasan rakyat,” kata ketua dewan itu Suhaizan Kaiat (kanan).

Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan juga berkata, walaupun KDN sudah menjelaskan bahawa penggantungan itu bersifat sementara, tetapi ia tetap menyekat kebebasan akhbar dan amat tidak demokratik.

“Masyarakat bertamadun dan moden hari ini mengiktiraf kebebasan akhbar dalam ruang lingkup yang dibenarkan perlembagaan Malaysia, dan menolak kaedah rakus dan keterlaluan.

“Menggantung akhbar berkenaan bukanlah kaedah demokrasi, malah ia mirip tindakan rejim diktator yang tersepit,” katanya.

Suhaizan juga berkata, KDN patut mengemukakan alasan yang kukuh ekoran tindakannya itu dan mengheret The Heat ke mahkamah jika benar akhbar itu bersalah.

Jika tiada alasan lain boleh diberikan selain alasan teknikal, kembalikan semula hak penerbitan kepada The Heat dan kementerian serta pemimpin negara perlu belajar menghormati hak yang diberikan kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: