Khamis, 2 Januari 2014

Harga ikan kembung di Kedah naik 50 peratus

MALAYSIAKINI


Harga ikan kembung di Kedah meningkat sehingga 50 peratus akibat perubahan iklim menyebabkan tangkapan merosot dan bekalan kurang di pasaran sejak tiga minggu lepas.
  
Tinjauan Bernama di beberapa pasar di bandaraya ini dan Kuala Kedah mendapati ikan kembung yang biasa dijual di bawah RM8 sekilogram kini dijual antara RM10 hingga RM12 satu kilogram.
  
Peniaga ikan Sahilan Mustafa, 45, berkata sebelum ini dia menjual ikan kembung antara RM5 hingga RM7 sekilogram tetapi kekurangan bekalan menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga.
  
"Bekalan yang kami dapat sekarang tidak banyak, purata seorang boleh dapat 20 kilogram," katanya yang ditemui berniaga di Jeti Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah, dekat Alor Setar hari ini.
  
Seorang lagi peniaga ikan di pasar sama, Normi Abd Ghani, 39, berkata dia tidak berniaga ikan hari ini kerana tidak mendapat bekalan berikutan ramai nelayan pulang dari laut tanpa hasil mencukupi.

Seorang suri rumah Rosma Harun, 43, dari Kampung Pelam, Mergong berkata dia terpaksa pergi ke Pasar Nelayan Seberang Kota kerana harga ikan di pasar Mergong agak mahal manakala di pasar Kampung Berjaya tiada bekalan.
  
Peniaga kedai makanan, Tan Guich Lam, 55, pula berkata dia masih mengekalkan harga biasa iaitu RM1 untuk seekor ikan kembung kepada pelanggannya walaupun harga ikan itu kini lebih mahal.
  
Sementara itu, Bendahari Persatuan Penduduk Kampung Seberang Kota dan Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, Ahmad Hashim berkata para peniaga dan nelayan telah diminta menetapkan harga yang berpatutan untuk hasil tangkapan mereka.
  
Beliau berkata mereka diminta menjual ikan kembung tidak melebihi RM11 sekilogram.
  
"Tidak ada alasan menaikkan harga. Kita yang berniaga bertanggungjawab dalam mengawal harga ikan," kata Ahmad sambil menambah bahawa bekalan ikan dijangka pulih seperti biasa pada hujung bulan ini.- Bernama

Tiada ulasan: