Penyamun dibelasah orang ramai Suspek cedera dibelasah orang ramai selepas cuba menyamun Anthony semalam.


BAGAN SERAI - Seorang penjenayah bukan hanya berputih mata kerana gagal menyamun seorang pengusaha bengkel kereta dengan menggunakan pistol mainan malah dia cedera selepas dibelasah orang ramai di Batu 8, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek berusia lingkungan 40-an terbabit memasuki premis milik T Anthony Dass, 41, dan mengugut peniaga itu supaya menyerahkan wang tunai kepadanya.

Anthony berkata, dia yang sedang bersendirian di bengkelnya terkejut diacukan pistol oleh suspek yang memasuki premisnya melalui pintu utama.

Menurutnya, suspek yang berada berdekatan pintu utama bengkel itu mengugut untuk menembaknya sekiranya mangsa gagal menyerahkan wang tunai dan barang berharga.

“Panik dengan kejadian itu, saya terus menolak pintu utama dan menyebabkan pencuri itu terhumban keluar, manakala pistolnya terlepas dari pegangannya.

“Melihat suspek terjatuh, saya segera menjerit meminta tolong dan tindakan saya itu menyebabkan suspek cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya dihalang adik saya dan orang ramai yang berada di sekitar bengkel,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Anthony berkata, sejurus selepas suspek diberkas, berlaku pergelutan antara lelaki terbabit dan sekumpulan orang ramai berikutan suspek bertindak agresif untuk melepaskan diri.

Menurutnya, insiden itu segera dimaklumkan kepada sepasukan anggota pasukan sukarelawan Bagan Serai yang kemudiannya membantu membawa suspek ke balai polis.

“Tindakan agresif suspek membawa padah apabila orang ramai yang berang dengan sikapnya bertindak membelasahnya.

“Hanya setelah suspek tidak lagi agresif, barulah dia diserahkan kepada anggota keselamatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Anthony berkata, dia kemudiannya terkejut selepas dimaklumkan bahawa senjata digunakan suspek untuk mengugutnya itu hanyalah pistol mainan.

Susulan kejadian tersebut, Anthony membuat laporan di Balai Polis Bagan Serai dan suspek serta motosikal dinaikinya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.