Isnin, 6 Januari 2014

Pas sokong Anwar, DAP jangan gopoh


Kalimah ALLAH


KUALA LUMPUR - Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan DAP, Pas hari ini tampil mengingatkan rakan sekutunya itu supaya tidak tergopah-gapah dalam membuat pendirian berhubung konflik kalimah ALLAH.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian parti adalah sama dengan Ketua Umum PKR itu yang menyifatkan tindakan DAP adalah tindakan gopoh.

"Kita setuju dengan kenyataan Anwar, rakan PR di Selangor tidak perlu tergopoh gapah membuat keputusan terhadap isu kalimah ALLAH itu," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas, di sini.

Tambahnya, persoalan mengenai pindaan undang-undang yang berkaitan isu tersebut akan diserahkan kepada kerajaan Selangor dan exco agama Islam negeri itu.

"Soal nak pinda atau apa, kita serah kepada kerajaan negeri tersebut," ujarnya.

Anwar semalam menyifatkan serbuan Jais terhadap premis Persatuan Bible Malaysia (BSM), Jumaat lalu sebagai tindakan gopoh kerana ia telah mencetuskan ketengangan antara agama di negara ini.

Anwar kemudian membidas sikap gopoh DAP merujuk kepada kenyataan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.

“Saya juga tidak setuju dengan usul yang dikemukakan Adun DAP, sementara kita tidak setuju dengan tindakan gopoh, kita juga jangan beri pandangan gopoh," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, AJK Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah Pas dalam menangani isu kekeliruan itu adalah berjumpa dengan semua pihak.

Katanya, Pas dan PR juga akan berbincang mengenai perkara itu di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi dengan segera.

"Itu langkah Pas, apa yang exco negeri buat itu bagus, nanti kita juga akan bincang dengan PR untuk mencari penyelesaiannya dengan segera," katanya.

Tiada ulasan: