Isnin, 6 Januari 2014

Isu 'bughah': DPPM buat laporan seluruh negara


Muhammad Khalil Abdul Hadi


KUALA LUMPUR - Pemuda Pas menyatakan akan membuat laporan polis terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut.

Timbalan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti itu boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan nyawa warganegara.

Justeru katanya, Dewan Pemuda Pas di seluruh negara perlu mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap kenyataan yang dikeluarkan Harussani.

"Dewan Pemuda Pas di seluruh negara diarah membuat laporan polis secara serentak pada hari ini atau esok (6 dan 7 Januari 2014).

"Saya berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan dengan menyiasat kenyataan beliau (Harussani) itu," katanya dalam satu kenyataan media yang turut menggesa Harussani menarik balik kenyataannya.

Media minggu lalu melaporkan Harussani sebagai berkata, peserta himpunan Turun pada 31 Disember 2013 yang lepas adalah 'bughah' dan halal darah mereka kerana disifatkan sebagai penderhaka kepada negara.

Susulan itu, Harussani telah dikecam pelbagai pihak. Namun mufti itu kemudiannya tampil menjelaskan, 'bughah' yang dimaksudkan beliau merujuk kepada demonstrasi pertama, iaitu 'guling kerajaan'.

Menurut Harussani, kenyataan berliau bersandarkan firman ALLAH menerusi surah al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud;

‘Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.’

Tiada ulasan: