Sabtu, 18 Januari 2014

Laporan #Kangkung BBC: Sekatan internet tanda pengkhianatan BN


yeo bee yin is

PETALING JAYA – Insiden sekatan laporan ‘kangkung’ BBC memperlihatkan pengkhianatan Kerajaan Barisan Nasional dalam komitmennya terhadap kebebasan internet dan media sosial, yang menjadi tunjang kepada kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.

Meskipun dinafikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), hakikatnya bahawa syarikat TM  tidak menafikan ia menyekat akses internet kepada berita tersebut dan menyatakan supaya soal tersebut dirujuk kepada SKMM membuktikan bahawa wujud ‘arahan dari atas’.
Strategis Media Sosial DAP, Yeo Bee Yin dalam kenyataannya mempersoalkan sama ada SKMM cuba menutup kesalahannya.

“Kami menggesa SKMM supaya jujur dan memperjelaskan insiden tersebut,” kata beliau sambil menuntut supaya Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato Seri Ahmad Shabery Cheek untuk megambil tindakan sewajarnya.

Kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Damansara Utama insiden sekatan terpilih atas tujuan politik sedemikian tidak boleh diterima sama sekali.

“Ia menghantar isyarat kepada Pakatan Rakyat tentang keikhlasan Putrajaya terhadap komitmennya untuk tidak mengenakan sekatan internet di bawah piagam jaminan Multimedia Super Corridor; terutama sekali apabila berhadapan saingan yang lebih sengit dalam PRU ke 14,” tambah beliau lagi.

Menurut beliau, dengan keadaan media arus perdana dikawal ketat oleh kerajaan Barisan Nasional, internet akan menjadi saluran kempen utama buat Pakatan Rakyat dalam PRU ke 14.

Menurut Laporan ekonomi 2013/14 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, bilangan pengguna internet negara dijangka bertambah menjadi 25 juta pada tahun 2015; lebih 85% daripada bilangan penduduk.

Turut dijangka ialah demografi pengundi muda yang bakal meningkat dalam PRU ke 14 berbanding PRU ke 13.

“Dengan kadar penggunaan internet yang tinggi, kelebihan Pakatan Rakyat dalam kempen media sosial serta demografi pengundi muda, kita akan melihat lapangan yang lebih adil dalam PRU ke 14 dari segi sebaran maklumat dan media,” ujar Bee Yin.

Kerajaan digesa supaya tidak menyembunyikan sekatan laporan ‘kangkung’ BBC dan mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab, selain memberi jaminan kepada syarikat pembekal internet bahawa mereka tidak akan dipaksa mewujudkan sebarang sekatan walaupun wujud ‘arahan dari atas’.

Laporan bertajuk “#BBCtrending: Be careful what you say about spinach” oleh portal berita BBC dilaporkan disekat lebih 12 jam dua hari lalu. Tulisan tersebut memberitakan bagaimana kenyataan ‘kangkung’ oleh Perdana Menteri Najib Razak menjadi bahan jenaka orang ramai di laman media sosial. – Roketkini.com

Tiada ulasan: