Sabtu, 18 Januari 2014

Kalimah ‘Allah’: ‘Jadi anak jantan, nyatakan pendirian’ – pesan Yeo Bee Yin kepada Najib


bee yin


KUALA LUMPUR: “Jadi anak jantan, nyatakan pendirian,” begitulah pesan Ahli Dewan Undangan Negeri Damansara Utama, Yeo Bee Yin kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu kalimah ‘Allah’ yang tidak berkesudahan.

Sehingga hari ini, Najib masih gagal membuka mulut menyatakan pendiriannya berhubung isu itu.

Dalam satu surat terbuka, beliau berkata, hanya Najib yang dapat memberikan kata putus berkenaan isu itu kerana media arus perdana pasti tidak akan memutar-belitkan kata-katanya.

“Kita tiada masa untuk bergaduh tentang isu ini. Ini adalah masa untuk melawan kemiskinan, rasuah; membina negara yang makmur, demokratik dan progresif; dan mewujudkan institusi sosial, ekonomi dan politik yang menjamin keadilan dan kebebasan warga.

“Jadi, saya ingin bertanya, demi kita sendiri dan negara yang dicintai; tolong nyatakan, bagaimana kita harus bergerak ke hadapan,” katanya.

Kemelut ini menyaksikan antaranya peristiwa seperti rampasan Al-Kitab oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ugutan membakar kitab suci agama dari Umno dan ugutan tunjuk perasaan di luar gereja pada hari Ahad.

Beliau turut berpesan kepada Najib agar jangan sesekali mengulangi sejarah, sebagai pemimpin yang memperalatkan agama untuk politik.

“Penyakit terbesar Malaysia adalah sikap hipokrit – agama berulang diperguna untuk menimbulkan kebencian sesama rakyat. Saya berharap anda lebih baik daripada itu, jangan pilih jalan itu untuk sembunyikan kegagalan anda memimpin.

“Saya pasti akan terhutang budi kepada anda, jika anda miliki walau secebis kekuatan moral. Adakah anda berani dan sanggup berkata tentang apa yang benar?” soalnya.

Berbeza dengan BN, Pakatan Rakyat konsisten dengan pendiriannya sejak 2010, iaitu membenarkan penganut bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’, dengan syarat ia tidak disalah guna untuk menyebarkan agama kepada orang Islam.

Pada 3 Januari lalu pula, Bee Yin bersama-sama ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran; dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San mencadangkan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 dipinda bagi memastikan hak orang Islam dan bukan Islam terperlihara secara saksama.

“Sebagai pembuat dasar di Selangor, saya telah nyatakan pendirian dengan jelas, seperti mana yang dipertanggungjawabkan oleh pengundi saya. Saya menjangkakan keteguhan dan keberanian yang lebih daripada anda, Perdana Menteri Malaysia.

“Kita perlu tamatkan perang kalimah ini secepat mungkin, atau ia akan menamatkan impian kita untuk menjadi negara yang hebat. Jadilah anak jantan, nyatakan pendirian,” tegasnya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: