Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Menjaga kebajikan tentera bukan kerana mereka
penjawat awam, tetapi pengorbanan yang diberikan demi menjaga keamanan
negara.
Demikian menurut Pengerusi Majlis Perundingan Keselamatan Tentera
KEADILAN, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab,
menyifatkan kerajaan Umno BN lepas tangan isu kebajikan tentera
menyebabkan golongan itu kecewa.
“Kebajikan
bukan bermula apabila mereka pencen, tetapi isu kebajikan perlu
diutamakan ketika mereka masih berkhidmat termasuk untuk keluarga
tentera.
“Mereka bekerja 24 jam untuk jaga keamanan negara. Cuti kalau
dipanggil (bertugas), mereka terpaksa mengorbankan masa bersama
anak-anak,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, dalam keadaan negara aman, sepatutnya keperluan dan
kebajikan tentera diutama berbanding membeli peralatan yang difikirkan
tidak perlu.
“Kerajaan patut tumpu dan utamakan kebajikan tentera seperti peruntukan perumahan dan agihan bantuan.
“Bukan kita menolak daripada membeli peralatan senjata, tetapi tengok
apa yang lebih penting.
Sekiranya keperluan mereka lengkap, tiada apa
yang akan dipertikaikan asalkan berguna untuk menjalankan tugas,”
ujarnya yang berkhidmat 30 tahun dalam Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM).
Kata Penasihat Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia
(Pahlawan) itu lagi, jika kerajaan mengutamakan kebajikan tentera,
mereka akan lebih bersemangat menabur bakti kepada negara seperti
dijanjikan Pakatan Rakyat.
“Kalau keluarga dan kebajikan mereka kita jaga betul-betul, mereka akan lebih bersemangat untuk bekerja.
“Itu adalah motivasi kepada mereka. Saya yakin ramai yang akan sertai
tentera. Tiada sebab mereka menjalankan tugas sambil lewa,” katanya.
Pakatan Rakyat mahu tingkat kebajikan anggota tentera, polis apabila diberi mandat mentadbir negara.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebajikan
badan itu sama ada masih berkhidmat atau bersara akan diberi setimpal
dengan pengorbanan menjaga keselamatan negara.
Berucap pada majlis Hi-Tea bersama 500 rakyat di Kampung Gangsa,
Durian Tengah, Melaka petang semalam, Anwar berkata, jasa dan
pengorbanan polis dan tentera tidak boleh sama sekali dipandang rendah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan