MALAYSIA CHRONICLE
TEMERLOH- Kira-kira 100 anggota National Union of Bank Employees (Nube) dari seluruh negara hari ini mengadakan perhimpunan aman di hadapan CIMB Cawangan Temerloh bagi mendesak Datuk Seri Nazir Razak menyelesaikan beberapa tuntutan mereka.
Kumpulan yang diketuai Setiausaha Agung Nube, J.Solomon yang berhimpun sekitar jam 11.45 pagi itu antara lain menuntut diberi perhatian soal gaji, kebajikan dan faedah perubatan kakitangan CIMB daripada kumpulan pengurusan diketuai oleh adik Perdana Menteri itu.
Dalam perhimpunan yang berlangsung selama 45 minit itu turut dipamerkan beberapa sepanduk yang tertera mesej-mesej yang cuba disampaikan kepada orang ramai yang secara kebetulan berhadapan dengan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Temerloh.
Kebanyakan sepanduk tersebut ditujukan kepada pihak pengurusan CIMB terutama kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Nazir Tun Razak.
Antara lain kelihatan sepanduk “Abang sulung janji ditepati, adik bongsu janji dimungkiri”, “Adik PM menipu pekerja”, “CEO CIMB restu PMS tipu ahli” dan “PM’s brother exploit workers”.
J.Solomon dalam ucapannya berkata, terdapat 27 aduan yang dituntut pekerja di peringkat bawahan masih tidak dapat diselesaikan, malah tidak diendahkan oleh pengurusan CIMB.
Menurutnya, beberapa tuntutan lain termasuk bonus kakitangan bawahan gagal diselesaikan sedangkan pengurusan tertinggi menerima faedah yang melampau.
“Antara kekecewaan lain termasuklah kes seorang kakitangan yang sedang hamil empat bulan diherdik hingga pengsan kerana enggan mematuhi arahan pihak atasan,” katanya.
J.Solomon berkata, mereka telah menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia bermula di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.
Menurutnya, Temerloh adalah destinasi kedua selepas Karak dan mereka turut akan mengadakan himpunan aman selepas ini di Maran, Kuantan dan Pekan.harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan