Sabtu, 9 Februari 2013

Semua Tadika, Pra Sekolah Di Selangor Layak mohon Skim Tunas


tunas sg pelek halimah 03

SHAH ALAM,: Semua tadika Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pra sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Negeri Selangor dialu-alukan memohon Skim bantuan Tadika Selangor (TUNAS).

Exco Pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali menjelaskan, skim ini terbuka buat semua sebagai usaha Kerajaan Negeri membantu ibu bapa dan pihak tadika dibawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Tegasnya, dengan peruntukkan berjumlah RM1,016,600 untuk tahun 2012 dan RM3 juta bagi tahun 2013, pihak tadika hanya perlu mendaftar di bawah Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS) bagi mendapatkan bantuan berkapita sebanyak RM50 sebulan.

“Skim ini untuk anak berumur lima dan enam tahun yang ibu bapanya dari golongan berpendapatan rendah di bawah RM1,500 dan dihantar ke tadika yang berdaftar dengan MPTS.

“Skim Tunas ini bertujuan membantu mengurangkan bebanan ibu bapa yang terpaksa membayar kos yuran. Anak-anak mereka dihantar ke tadika dan pra sekolah yang dibayar secara bulanan dan terus ke akaun tadika yang berdaftar dengan MPTS,” katanya ringkas.

Penjelasan ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri tidak menunaikan janji untuk memberikan bantuan pembiayaan kepada anak-anak kecil yang memasuki alam pra persekolahan dan tadika.

Sejak diperkenalkan pada 1 Julai 2012, sebanyak 217 permohonan tadika dan pra sekolah telah diterima sehingga akhir tahun 2012 manakala 339 permohonan untuk tahun 2013 sehingga 31 Januari 2013.

Manakala seramai 1,903 ibu bapa juga mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Skim Tunas bagi tahun 2012 sementara 1,800 permohonan dicatatkan sehingga 31 Januari untuk tahun 2013.

Menurut Halimah, untuk tahun 2013 MPTS mensasarkan 5,000 permohonan ibu bapa untuk Skim Tunas sehingga penghujung Disember.

Setakat ini, Daerah Klang mencatatkan permohonan paling tinggi dengan 528 permohonan untuk tahun 2012 dan 409 permohonan sehingga 31 Januari 2013.

Daerah Hulu Selangor pula mencatatkan permohonan terendah pada tahun 2012 dengan 22 permohonan sementara Daerah Sepang dengan 8 permohonan setakat ini.

Dari segi jumlah bayaran pula, sebanyak RM214,175 telah dibayar untuk tahun 2012 manakala RM90,000 untuk Januari 2013 sahaja.

Secara keseluruhan, kaum Melayu mengemukakan permohonan paling tinggi dengan pecahan hampir 89 peratus, diikuti kaum Cina dengan sembilan peratus dan India dua peratus.

Beliau menambah, Kerajaan Selangor juga bakal menganjurkan sambutan Hari Tadika Selangor 2013 pada 24 Februari ini bertempat di Kompleks Belia dan Kebudayaan Seksyen 7, Shah Alam bermula jam 8 pagi sehingga 1 tengahari.

Sambutan ini bakal menghimpunkan ibu bapa serta guru dan pengusaha tadikan disamping seramai 2,013 pelajar tadika yang akan menjayakan program berkenaan.

Tiada ulasan: