Selasa, 19 Februari 2013

Selangor tidak terlalu harap peruntukan pusat, kata MB

SINAR HARIAN

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak terlalu mengharap peruntukan kerajaan persekutuan kerana Selangor mempunyai dana mencukupi untuk mengurus pentadbiran dan melaksana pelbagai programnya.

Justeru, katanya, hal seperti Kerajaan Negeri Kedah meminta kerajaan persekutuan membayar pampasan RM100 juta jika mahu penebangan balak oleh kerajaan negeri dihentikan, tidak akan berlaku di Selangor.
"Kerajaan negeri (Selangor) mempunyai kemampuan untuk menguruskan sumber yang ada dengan baik.

"Berdasarkan pengalaman saya dalam dunia korporat, kita perlukan banyak sumber dan di sini terletaknya bagaimana kita mengurus dan merancang untuk memastikan kita ada cukup sumber," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan jabatan kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, ini dibuktikan apabila kerajaan negeri baru-baru ini mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membina jambatan ketiga Sungai Klang di bandar Klang yang bernilai RM300 juta tanpa menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

Ditanya sama ada pembinaan jambatan ketiga itu akan diteruskan sekiranya pakatan pembangkang tewas dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Abdul Khalid berkata, pembinaan jambatan itu akan diteruskan oleh mana-mana parti yang menerajui kerajaan negeri.

Beliau berkata pada 2008, kerajaan negeri ketika itu yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) telah melakukan pecah tanah projek itu tetapi terhenti disebabkan kerajaan negeri ketika itu tiada peruntukan kewangan.

Mengulas mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor yang berkemungkinan dibuat lebih awal, Abdul Khalid berkata, perkara itu akan diputuskan selepas selesai membuat perbincangan.  - Bernama

Tiada ulasan: