Sabtu, 23 Februari 2013

Selangor Gantung Sementara Semua Projek Prasarana Persekutuan


AES_Grafik_1

SHAH ALAM : Semua projek prasarana Kerajaan Persekutuan di Selangor, seperti jalanraya dan bangunan, telah digantung buat sementara waktu.

Keputusan itu dibuat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai respons terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini di dalam kes dua tiang kamera penguatkuasa automatik (AES) yang dipasang di lebuhraya di dalam kawasan Sepang.

” … Kebenaran pembangunan yang telah diberikan kepada jalanraya dan prasarana persekutuan hendaklah digantung buat sementara waktu sehingga proses rayuan selesai,” kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan media.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor untuk menyediakan senarai cadangan pembangunan persekutuan.

“Samada lebuhraya atau Prasarana Transit Aliran Ringat (LRT) untuk disemak semula oleh Majlis Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Selangor dan kerajaan negeri terjamin,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Penasihat undang-undang Negeri Selangor akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Ini kerana keputusan itu bermakna pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina di atas jalan persekutuan.

Sebelum ini Kerajaan Negeri membantah perlaksanaan sistem AES kerana didakwa ia tidak cekap di dalam mengurangkan kadar kemalangan dan hanya membebankan rakyat dengan saman.

Media rasmi Kerajaan Persekutuan Bernama melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh dua syarikat yang mengendalikan AES terhadap keputusan MPSp.

Pada awal Disember, MPSp telah merobohkan dua tiang kamera AES yang dipasang oleh Beta Tegap Sdn Bhd di km 301.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan km 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Dalam penghakimannya, hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan bahawa MPSpc tidak mempunyai bidang kuasa ke atas PLUS dan SKVE.

Sehubungan itu membenarkan Beta Tegap memasang kamera AES di dua lebuhraya berkenaan.
Zaleha berkata, PLUS dan SKVE berada dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Tiada ulasan: