Ahad, 17 Februari 2013

PR Perak akan selesai tanah untuk sekolah Tamil

Harakahdaily,



Sivakumar (baju kuning) bersama masyarakat India mengadakan bantahan mengenai tanah tersebut di Ipoh hari ini.

IPOH: Pakatan Rakyat (PR) Perak menjanjikan untuk menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar itu dengan serta merta apabila menjadi kerajaan selepas PRU13.

“Kami juga memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Barisan Nasional Perak untuk menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar ini,” ujar Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau yang juga Adun Tronoh menegaskan, jika pihak kerajaan gagal menyelesaikan masalah itu, PR terpaksa membuat satu himpunan aman di hadapan pejabat SUK Perak untuk menuntut hak sekolah-sekolah Tamil di negeri ini.


Berikut kenyataan penuh beliau.

Barisan Nasional Perak telah menipu masyarakat India sekali lagi. Apa sudah jadi dengan janji kerajaan Perak untuk memberikan 2,000 ekar tanah kepada Sekolah-sekolah Tamil di Perak?

Kerajaan Barisan Nasional telah berjanji untuk memberi tanah 2000 ekar itu pada tahun 2009 setelah mereka merampas kuasa di negeri Perak. Mereka  menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak prihatin terhadap sekolah-sekolah Tamil.

MIC Perak dengan bangganya  telah membuat pengumunan bahawa kerajaan Barisan Nasional Perak telah memberikan 2,000 ekar tanah  kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak.

Adakah benar kerajaan Perak telah memberikan tanah seluas 2,000 ekar itu kepada sekolah-sekolah Tamil?

Kalau benar, saya memohon kepada MIC negeri Perak untuk membukti perkara itu dengan menunjukkan geran tanah  untuk 2,000 ekar tanah tersebut dengan serta-merta.

Sebenarnya tanah itu tidak pernah diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak. Tanah itu diberikan di atas nama Yayasan Perak.

Saya tidak tahu apa hubungan Yayasan Perak dengan sekolah-sekolah Tamil. Ini merupakan saya muslihat untuk mengkaburi mata masyarakat India.

MIC membuat lakonan seolah-olah masalah tanah untuk sekolah-sekolah Tamil itu telah diselesaikan apabila kerajaan memberikan tanah itu kepada Yayasan Perak.

Saya pernah membangkitkan isu tanah 2000 ekar itu beberapa kali dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak. Tetapi, saya hanya diberi jawapan yang lumrah iaitu masalah akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Isu tanah ini tidak dipandang serius oleh kerajaan Barisan Nasional.  Pemimpin-pemimpin MIC juga tidak mahu isu ini sering ditimbulkan. Mereka mungkin mempunyai agenda sendiri untuk ‘sapu’ tanah tersebut.

Saya difahamkan ada pemimpin-pemimpin politik yang bercadang untuk mendapatkan tanah itu daripada Yayasan Perak dengan cara menubuhkan syarikat swasta untuk mengurus tadbirnya.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Tapah Datuk Saravanan juga telah membuat saranan kepada kerajaan Perak supaya menyerahkan tanah itu kepada MIC untuk membantu sekolah-sekolah Tamil. Ini adalah satu cadangan yang tidak boleh diterima.

Rakyat negara ini khususnya masyarakat India tidak lupa kepada skandal-skandal besar yang pernah dilakukan oleh MIC seperti isu saham Telekom dan Maika Holdings. Memberi 2,000 ekar tanah ini kepada MIC adalah seolah-olah menjemput buaya ke tepi sungai dan memberikan seekor kambing untuk dimakan.

Tambahan pula, dalam suasana politik sekarang Barisan Nasional tidak mungkin dapat menjadi kerajaan lagi di negeri Perak selepas PRU13. Oleh yang demikian, memberi tanah itu kepada MIC adalah satu tindakan yang  langsung tidak bermakna.

Saya telah membangkit isu ini dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak pada 15 Februari 2013. Pakatan Rakyat Perak menjanjikan untuk menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar itu dengan serta merta apabila menjadi kerajaan selepas PRU13.

Kami juga memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Barisan Nasional Perak untuk menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar ini. Jika pihak kerajaan gagal menyelesaikan masalah ini, kami terpaksa membuat satu himpunan aman di hadapan SUK Perak untuk menuntut hak sekolah-sekolah Tamil di Perak.

Tiada ulasan: