SINAR HARIAN
MELAKA - Polis Melaka percaya telah menyelesaikan kes meracun Beruang
Matahari dan kuda lumba spesies 'Thoroughbred' di Zoo Melaka dan Safari
Malam di sini berikutan penangkapan seorang lelaki berusia 65 tahun awal
hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah
berkata pasukan khas polis yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu
menahan lelaki terbabit yang merupakan seorang peniaga kira-kira 1 pagi
ini di sebuah taman perumahan di Kulai Besar, Johor.
Beliau berkata polis turut merampas sebuah kenderaan dan beberapa barangan berkaitan dengan perbuatan jenayah itu.
"Dalam siasatan awal, suspek mengaku melakukan perbuatan itu, namun
terlalu awal untuk mendedahkan motif perbuatannya," katanya ketika
dihubungi Bernama di sini hari ini.
Raja Shahrom berkata lelaki terbabit bukan pekerja zoo dan dipercayai
datang ke tempat pelancongan itu bagi melakukan jenayah berkenaan.
Beliau berkata hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan
zoo itu menunjukkan lelaki terbabit berada dalam keadaan mencurigakan
sebelum polis bertindak mengesannya.
Lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan
membunuh atau mencederakan haiwan yang membawa hukuman penjara maksimum
lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beruang betina berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun itu ditemui mati 5
petang Ahad lepas manakala kuda lumba berumur 17 tahun yang diberi nama
'Basket' pula ditemui mati 7 pagi keesokannya disyaki diracun melalui
makanan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan