Rabu, 6 Februari 2013

Pojok: Cabai Burung – UMNO apa lagi?

Roketkini.com

DISANGKA panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itulah dilema yang sedang menghantui UMNO-BN membuatkan mereka hilang arah dalam rangka politik buruk-memburuk dan fitnah-memfitnah yang sering mereka putarkan.

Di sebalik sensasi isu kalimah Allah yang dimomok-momokkan, dalam kekecohan Perkasa yang konon mahu membakar Bible versi bahasa Melayu, dua tokoh politik negara, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh bertemu dalam suasana penuh mesra memberi renjatan mengejutkan UMNO-BN.

Apalagi, ia bukanlah pertemuan formal di pentas ceramah. Malahan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyambut hari lahir beliau ke-82 di rumah Pengerusi DAP itu.

Mungkin hasil pertemuan ini polemik isu kalimah Allah yang dicipta balaci dan propagandis UMNO-BN terbantut tidak sampai klimaksnya.

Ada yang kata PAS dah lain. Ada yang kata DAP pun dah lain. “Dulu bujang sekarang dah kahwin,” sindir seorang teman UMNO. Lebih ekstrim, ada juga pencacai UMNO menuduh yang bukan-bukan, “Tengok, ini bukti PAS barua DAP.”

Sudah tentu orang yang melabel ‘barua’ bagi pertemuan dua tokoh utama oposisi ini cetek akal.

Ia sama dangkal kalau kita menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi barua kepada Kristian apabila beliau mengunjungi Pope Benedict XVI di Rom, pada 18 Julai 2011.

Apapun persepsi yang tercipta dengan pertemuan bersejarah dua tokoh yang sering dilaga-lagakan itu, ia telah mengukir satu lembaran baru ukhwah yang terpahat di kalangan parti gabungan Pakatan Rakyat (PR).

Bila mana seorang pemerintah Kristian, Raja Najashi yang memerintah Habsyah memberi suaka politik kepada sekumpulan umat Islam yang memohon perlindungannya, ia telah memulakan satu era baru dalam sejarah awal ketamadunan Islam dan menggambarkan ketinggian sifat manusiawi. Ini yang UMNO-BN cemburui.

Dominasi UMNO terhadap parti gabungan di bawah BN seperti MCA dan MIC jauh bezanya dengan amalan PR. Amalan jahiliah ‘dominasi’ UMNO ini sudah tak terbendung lagi sehingga melingkupkan ekonomi negara. Sebab itulah banyak benda yang tak mampu dijawab Najib sendiri.

PR menjunjung prinsip hak untuk berbeza pendapat, bekerjasama memartabatkan rakyat. Sudah tentu ia tidak lari daripada acuan demokrasi. Yang pasti, UMNO gagal memperbodohkan rakyat Malaysia.
Kesedaran dan sensitiviti di kalangan kita semakin kukuh. Jadi, UMNO apa lagi? -Roketkini.com

Tiada ulasan: