Rabu, 6 Februari 2013

Guan Eng nafi adik perempuannya bakal calon PRU13

SINAR HARIAN

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
 
GEORGETOWN - Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini menafikan dakwaan konon adik perempuannya Lim Hui Ying turut tersenarai sebagai calon pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
  
Beliau berkata adiknya tidak berminat untuk bertanding dan pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow juga mengesahkan nama Hui Ying tidak tersenarai dalam senarai bakal calon DAP.
  
"Adik saya tak berminat bertanding dan YB Chow berkata nama adiknya tidak ada dalam senarai. Jika adik saya ingin bertanding, tentu beliau telah bertanding dalam tiga pilihan raya lepas.
  
"Jangan heret saya punya ahli keluarga macam ini," kata Lim pada sidang media di sini hari ini.
  
Beliau mengulas laporan akhbar The Star yang menyebut adiknya adalah antara muka baru bertanding pada PRU13.
  
Lim menyifatkan laporan itu sebagai fitnah dan berharap pembaca tidak mempercayai apa yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris itu.

"Saya tak tahu sama ada The Star seterusnya akan bercakap mengenai saudara lelaki saya. Jika anak lelaki saya berumur 21 tahun kamu akan juga bercakap mengenainya, saya pasti. Tetapi saya tak fikir ini baik," katanya.
  
Dalam perkembangan lain, Lim berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat serangan peribadi terhadap beliau apabila menyifatkan sebagai "tindakan bodoh" gesaan beliau supaya rakyat memakai baju warna tertentu untuk menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) pada 11 Februari ini.
  
"Saya berasa dukacita bahawa beliau menggunakan bahasa yang tidak senonoh terhadap saya. Saya tidak mahu buat serangan peribadi (seperti) dibuat Timbalan Perdana Menteri khususnya berkaitan persembahan Psy pada hari Isnin ini... Saya tidak mahu menjawab (membalas) dengan nada yang sama," katanya.
  
Isnin lepas, Lim menggesa rakyat Pulau Pinang mengunjungi rumah terbuka Tahun Baru Cina yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dengan memakai baju warna kuning, hijau dan merah.
  
Beliau berkata kuning sebagai tanda sokongan kepada Bersih, hijau untuk alam sekitar dan merah untuk Pulau Pinang. - Bernama

Tiada ulasan: