KL TODAY
KUANTAN:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sejumlah
20 tahun ke atas seorang pembantu rumah warga Indonesia selepas mengaku
bersalah terhadap dua pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia
empat bulan, Jumaat lalu.
Hakim
Mohd Azhar Othman memutuskan hukuman itu memandangkan kesalahan yang
dilakukan Yuliana, 23, amat serius dan mendatangkan kesan besar bukan
sahaja kepada keluarga mangsa tetapi masyarakat di seluruh dunia.
“Perbuatan kamu telah menyebabkan masyarakat menjadi takut dan tidak tenteram apabila meninggalkan anak kepada pembantu rumah.
“Mahkamah berpendapat hukuman ini setimpal dan dapat memberi pengajaran kepada kamu dan masyarakat,” katanya.
Yuliana berasal dari Sukarame, Acheh bekerja tidak sampai sehari sebagai pembantu rumah dengan keluarga mangsa.
Bagi
pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa menghempas dan
melambung Mohamed Hareez Mohamed Zamri sebanyak sembilan kali yang
boleh mendatangkan kematian kepada mangsa pada 7.45 pagi, 15 Februari
lepas di kediaman ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol
38, Jalan Bukit Setongkol di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Bagi
pertuduhan kedua, pada tempat dan masa yang sama, dia didakwa
menganiaya Mohamed Hareez dengan tujuan mendatangkan kecederaan yang
boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001
yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda
maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima tahun penjara untuk kesalahan kedua.
Bagaimanapun
Mohd Azhar memutuskan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dan dia
hanya perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun dari tarikh tangkapan
iaitu pada hari kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamed.
Mengikut
fakta kes, pada 7.45 pagi pada hari kejadian, ibu bapa mangsa yang
sedang bersarapan di sebuah kopitiam di sini terkejut apabila melihat
bayi sulung mereka dilambung dan dihempas pembantu rumah melalui
rakaman kamera litar tertutup di telefon bimbit bapa mangsa.
Berikutan
itu, ibu mangsa, Nina Suraya Sulaiman, 24, segera menghubungi jiran
supaya pergi menyelamatkan anaknya sebelum kedua-dua mereka bergegas
pulang.
Bapa mangsa kemudiannya menghubungi polis dan tertuduh ditahan pada 9.15 pagi.
Terdahulu,
tertuduh yang memakai baju lokap bewarna ungu tidak menunjukkan
sebarang reaksi atau riak wajah ketika menyaksikan rakaman CCTV
perbuatannya yang dipertontonkan kepadanya di dalam mahkamah menerusi
komputer riba.
Dia bagaimanapun menitiskan air mata ketika diminta mengemukakan rayuan hukuman dan berkata: “Saya takut”.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamed.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan