Walaupun awalnya saya tidak mahu memberikan sebarang reaksi, perkembangan itu bukan sahaja mempunyai kesan di Pandan sahaja. Ia menggambarkan bentuk kerjasama dan autonomi yang wujud di dalam BN dan sikap Umno (sebagai parti yang terbesar) terhadap parti komponennya yang lain seperti MCA.
Sudah menjadi amalan di dalam mana-mana pakatan politik bahawa keputusan meletakkan calon itu adalah keputusan parti yang diberi tanggungjawab bertanding di parlimen itu.
Sejak sekian lamanya, BN memberi hak dan autonomi kepada Umno, MCA atau mana-mana parti komponennya menilai calon terbaik untuk bertanding di kawasan yang diwakili.
Kalau ada perselisihan faham pun mengenai pencalonan seseorang, keputusan dan pendapat parti komponen yang mewakili kerusi itu diberi keutamaan.
Itu amalan dulu-dulu di dalam BN tetapi sekurang-kurangnya autonomi untuk menentukan calon dikekalkan di tangan presiden parti komponen di kerusi yang diwakili partinya.
Keadaan itu berubah kali ini apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memohon agar mandat menentukan calon bagi semua calon BN diserahkan ke tangan beliau. Calon dari parti komponen tidak lagi ditentukan oleh parti komponen, sebaliknya beliaulah yang akan membuat keputusan.
Sudah tentu ini satu perubahan besar dalam lanskap politik negara. BN yang sebelum ini menjaja dirinya sebagai satu persefahaman politik pelbagai bangsa yang adil kini tidak lebih dari monopoli Umno. Parti komponennya tidak lebih dari pengemis.
Oleh sebab itulah, presiden parti komponen seperti Datuk Seri Chua Soi Lek sendiri sehingga kini masih belum disahkan pencalonannya. Presiden parti komponen yang lebih kecil di Sabah dan Sarawak masih berdebar-debar menunggu sama ada nama mereka dicalonkan atau senarai mereke diterima oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Keadaan ini bukan sahaja memperlekehkan kedudukan parti komponen di dalam BN – ia merampas kuasa politik yang ada di tangan pimpinan parti komponen untuk menentukan calon.
Sebab itulah, pertelingkahan terbuka di antara Datuk Seri Chua Soi Lek dan Datuk Seri Ong Tee Keat bermakna keresahan di kalangan pimpinan pusat MCA bahawa kuasa mereka untuk menentukan calon sudah terhakis ada benarnya. Mungkin sebab itu, Datuk Seri Chua Soi Lek mengambil keputusan untuk menghantar isyarat awal kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak memperlekehkan parti-parti komponen BN di mata pengundi.
Apabila pertelingkahan ini sudah menjadi perang terbuka, maka penilaian pengundi Pandan mengenai calon BN dari MCA adalah jelas:
- Jika calon MCA adalah Datuk Seri Ong Tee Keat pada masa presiden MCA secara terbuka menggugurkan beliau, bermakna Datuk Seri Ong Tee Kiat menjadi calon atas ehsan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno.
- Jika calon MCA bukanlah Datuk Seri Ong Tee Keat, bermakna akhirnya Datuk Seri Najib Tun Razak tunduk kepada tuntutan MCA agar autonomi memilih calon dikekalkan di tangan parti masing-masing.
Beliau tahu kalau pun BN menang dalam PRU13, majoritinya lebih rendah dan beliau tidak akan berjaya mendapatkan kedudukan dua pertiga di Dewan Rakyat. Ini akan memberi ruang kepada pimpinan Umno yang kurang senang dengan prestasi beliau untuk menuntut beliau meletak jawatan, seperti mana yang pernah dilakukan kepada Tun Abdullah Badawi.
Oleh itu, satu-satunya cara untuk beliau kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri walaupun ditolak Umno selepas PRU13, adalah dengan memilih sendiri setiap calon di Parlimen yang kesetiaannya tidak berbelah bahagi kepada beliau supaya jika ada undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen, beliau boleh menang walaupun tidak mendapat sokongan majoriti dari Umno sendiri.
Sebab ini jugalah, pilihanraya tidak boleh dipanggil sehinggalah Datuk Seri Najib telah berjaya meletakkan semua calon-calon dari Umno dan parti komponen yang setia kepada beliau walaupun ditolak oleh parti masing-masing.
RAFIZI RAMLI adalah pengarah strategi PKR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan