Selasa, 19 Februari 2013

Mat Zain: Isu di Lahad Datu tak ubah seperti kes Sauk

 
MALAYSIA KINI


 
Seorang bekas pegawai tinggi polis berkata rakyat sepatutnya menuntut agar kumpulan warga asing bersenjata yang dikepung pihak berkuasa di Lahad Datu, Sabah ditangani dengan keras seperti tindakan ke atas kumpulan al-Maunah dalam insiden tahun 2000 di Sauk, Perak.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim memberi alasan, situasi yang berlaku di Kampung Tandou, Lahad Datu itu tidak banyak berbeza dengan peristiwa di Bukit Jenalik itu.

"Jika kes Sauk boleh diklasifikasi sebagai 'melancarkan atau cuba melancarkan perang ke atas Yang Di-Pertuan Aong atau Yang Di-Pertua Negeri', yang merupakan kesalahan ke atas Negara, maka rakyat boleh menuntut agar undang-undang sama dikenakan ke atas penceroboh Sulu ini.

"Jika rakyat kita sendiri terlibat dalam insiden Sauk boleh dilucutkan senjata atau dibunuh oleh pasukan keselamatan dan kemudiannnya didakwa di mahkamah dan beberapa orang daripadanya dihukum gantung, maka rakyat berhak untuk menyuarakan kemarahan mereka sekiranya perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang menjadi menteri pertahanan semasa insiden Sauk, menangani penceroboh ini dengan tindakan ringan," katanya.

Katanya, peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang bertindak sebagai ketua pendakwa dalam perbicaraan kes melibatkan kumpulan al-Maunah, seharusnya menasihati Yang Di-Pertuan Agong dan perdana menteri berhubung peruntukan undang-undang dalam menangangi kumpulan di Lahad Datu.

Tambahnya, Abdul Gani "pasti dapat mengingati ramuan untuk membuktikan kes yang berlaku di kampung halamannya".

Beliau juga memberi amaran bahawa golongan yang cuba mengeksploitasi insiden Lahad Datu untuk kepentingan politik Najib tidak akan berjaya berbuat demikian.

"Sekiranya tindakan yang diambil ke atas penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datuk kurang berat berbanding tindakan ke atas rakyat kita sendiri dalam insiden Sauk, maka tindakan berkenaan akan dianggap memalukan, khianat, dan pengecut oleh perdana menteri," katanya lagi dalam satu tulisan hari ini.

1 ulasan:

Sabuli berkata...

Betul Tuan.. rasanya jika libat dengan pihak luar takut la pulak.. dalam malaysia sendiri jadi jaguh kampung.kalau cam ni habih la kita dipermainkan oleh Negara luar..