Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin
mencabar kerajaan segera selesaikan tuntutan permit individu kepada
pemandu teksi dan tidak lagi bergantung kepada syarikat teksi yang
kebanyakannya dimiliki kroni Umno.
Zuraida berkata, kebisuan kerajaan berhubung tuntutan tersebut yang
disifat sebagai sistem perhambaan bagi mencekik darah rakyat memberi
kesan kepada Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.
“Kita cabar kerajaan tangani masalah permit pemandu teksi. Keluarkan
mereka daripada perhambaan dan tekanan sebegini. Mereka hanya mahu cari
rezeki.
“Hari
ini kita bersama kumpulan pemandu teksi menuntut supaya mereka dapat
permit,” katanya pada sidang media di pintu masuk Stesen Kuala Lumpur
Sentral, di sini hari ini.
Terdahulu, Zuraida bersama Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani
Abdul Hamid mengedarkan pelekat kereta Kempen Tuntut Permit Teksi di
depan pintu utama Hotel Hilton Kuala Lumpur.
Ia lokasi pertama kempen tersebut dengan cetakan sebanyak 5,000 pelekat untuk diedarkan sepanjang minggu ini.
Sementara itu, Abdullah Sani membidas kerajaan yang sanggup mendahulukan kroni tetapi mengabai sengsara rakyat.
“Kenapa
kerajaan tak bagi permit? Sebabnya mereka bela kroni di belakang
mereka. Sekiranya Pakatan Rakyat menang kelak, kita akan bagi pemandu
teksi permit individu supaya mereka boleh mencari rezeki dengan selesa
tanpa ada pihak yang ambil kesempatan atas kesusahan mereka.
“Sampai hari ini kerajaan masih diam. Pemandu teksi minta permit
diberinya tayar, sampai bila pun tak selesai. Umno BN tak pernah faham
apa derita rakyat,” kata Abdullah.
Pengerusi Gerakan Tuntutan Permit Teksi Malaysia, Mohamad Ridzwan
Mohamad Daud yang hadir sama turut mendesak kerajaan menyegerakan
tuntutan pemberian permit teksi kerana mereka cukup terbeban caj sewaan
harian teksi.
“Orang
tengah yang menyewa permit teksi kepada pemandu yang layak mengenakan
caj sewa harian teksi tidak munasabah dan membebankan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu prihatin kebajikan pemandu teksi sebagai isu pokok yang menjadi sasaran utama mereka.
“Sistem pengurusan pemandu teksi perlu dirombak dan kebajikan mereka
merangkumi aspek menyeluruh termasuk kesihatan dan keselamatan kerjaya
seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) harus diberi perhatian.
“Lebih 80,000 pemandu teksi di Malaysia menghadapi pelbagai masalah
dari segi pengurusan sehingga kebajikan mereka terabai,” kata Ridzwan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan