Pengerusi Tetap Umno Pasir Gudang, Abu Bakar Alibi berkata, tindakan menutup bilik gerakan di kawasan itu tidak akan diteruskan selepas penduduk menerima jaminan rasmi dari kerajaan negeri.
Abu Bakar berkata, satu majlis penyerahan surat akur janji di antara kerajaan negeri dan penduduk akan diadakan minggu depan sebagai penyelesaian sementara bagi menjernihkan kemelut isu tanah di kawasan itu.
“Beberapa hari lalu sebahagian penduduk perkampungan setinggan Sri Makmur sudah pun menerima borang Notis 5A.
“Manakala bagi beberapa perkampungan setinggan lain, penduduk hanya akan menandatangani surat akur janji kerana masalah tanah yang dihadapi berlainan dengan Kampung Sri Makmur.
“Tetapi kita tetap berpuashati kerana ada jaminan rasmi dari kerajaan, jadi tidak akan timbul isu tutup bilik gerakan selepas ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, penduduk perkampungan setinggan yang terbabit akan terus menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) selagi keperluan dan hak mereka ditunaikan seperti yang dijanjikan.
Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Kampung Sri Makmur, Nordin Kasri berkata, penduduk Kampung Sri Makmur berbesar hati atas keprihatinan kerajaan negeri menawarkan borang Notis 5A.
“Kami amat berterima kasih kerajaan negeri mengambil kira penantian kami selama lebih sepuluh tahun untuk mendapatkan geran tanah hak milik.
“Penduduk Kampung Sri Makmur akan terus menyokong kerajaan sekali gus menolak keputusan untuk menutup bilik gerakan di kawasan ini,” katanya.
Sinar Harian pada 24 Januari lalu melaporkan keputusan beberapa jawatankuasa Umno Cawangan dari beberapa sembilan perkampungan setinggan di Parlimen Pasir Gudang menutup bilik gerakan kerana kecewa kerajaan negeri yang didakwa gagal menunaikan janji menyerahkan geran hak milik tanah sejak sepuluh tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan