Ahad, 17 Februari 2013

Isma tanding PRU13 guna tiket Berjasa

G MANIMARAN

PRU13
PRU13
 
SHAH ALAM - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, akan bertanding menggunakan lambang Berjasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan menyenaraikan 11 kerusi sebagai sasarannya buat masa sekarang.

Sehubungan itu, kepimpinan Isma dan Berjasa akan mengeluarkan satu manifesto standard dalam waktu terdekat.

Daripada 11 kerusi itu, sembilan melibatkan peringkat parlimen dan baki adalah bahagian Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Setakat ini, kami memutuskan untuk bertanding di 11 kawasan. Kami sedang berbincang mengenai kawasan-kawasan lain yang kami akan tanding," kata Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman ketika dihubungi.

Terdahulu pada sebelah pagi tadi, Isma melancarkan jentera pilihan raya dan mengumumkan parti yang akan dijadikan platform untuk menurunkan calonnya iaitu Berjasa.

Akhir tahun lalu, Isma mengumumkan penubuhan biro politik sebagai persiapan menyertai dengan aktif dalam PRU13.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan temu bual khas dengan Zaik mengenai pendirian pihaknya bertanding PRU13.

Mengulas lanjut, Zaik berkata, pihaknya akan meletakkan calon di Subang, Puchong, Seremban, Tapah, Wangsa Maju, Segamat dan Gurun.

Kerusi-kerusi itu ditandingi oleh calon bukan dari Umno dan Pas lima tahun lalu.

Mengulas lanjut, Zaik berkata, pihaknya akan bertanding di kawasan-kawasan yang tidak ditandingi Pas dan Umno.

"Kami sedia bincang dengan sesiapa sahaja. Kami memutuskan untuk tidak bertanding di kawasan, yang pada PRU 2008 ditandingi oleh Pas dan Umno.

"Mungkin akan ada perubahan... kerusi-kerusi ini berdasarkan senario 2008, tempat mungkin berubah," kata Zaik sambil menambah, senarai nama untuk 11 kerusi yang telah diputuskan sudah ada.

"Tetapi ia tidak boleh diumumkan sekarang atas faktor keselamatan," kata beliau.

Isma bercadang untuk bertanding di 20 kerusi.

Pada 8 Februari lalu, Berjasa berkata akan meletakkan calon di 150 kerusi pada PRU13 dengan tujuan mahu menambah suara orang Melayu di Parlimen dan Dun.

Pengarah Eksekutif Markas Pilihan Raya Berjasa, Datuk Hashim Abdul Karim berkata, dari 150 kerusi itu, 50 adalah bahagian Parlimen manakala baki 100 melibatkan peringkat Dun.

Menurutnya, Berjasa mengambil keputusan untuk kembali  bertanding pada PRU13 demi memperkasakan kembali hak orang Melayu dan agama Islam.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun akan dipertandingkan pada PRU13.

Beliau juga berkata, langkah meletakkan calon kali ini bukan bertujuan memecahkan undi orang Melayu, sebaliknya mahu meramaikan wakil kaum itu di Parlimen.

Tiada ulasan: