Fitnah sentiasa berjaga sementara ahli politik pula kerap tertidur. Ungkapan ini bermaksud, ahli politik sentiasa terdedah kepada apa sahaja yang boleh menjejaskan reputasi mereka pada mata rakyat kerana kealpaan mereka sendiri. Kadang-kadang, ahli politik berkenaan seorang yang ‘baik’, namun yang membuat onar adalah anak atau isterinya.
Pengalaman sendiri; saya terpaksa mengambil masa menjelaskan kepada umum pada suatu masa dahulu (antara tahun 1999 - 2004) hanya kerana saya membeli kereta Proton Saga Automatik, pada hal kereta jenis itu bukan termasuk kereta mewah. Bahkan kereta yang saya beli itu sudah berusia enam tahun. Itu pun selepas kawan-kawan menyarankan saya memiliki kereta yang lebih baik memandangkan kereta saya yang sedia ada kurang sesuai.
Ramai pemimpin Umno dicemuh masyarakat kerana anak atau isteri mereka.
Najib dicemuh kerana perangai isterinya. Nazri Aziz dicemuh kerana
kerenah anaknya. Suatu ketika dulu, Dr M pernah dihentam juga kerana
anaknya. Tidak ketinggalan, ada yang dicemuh kerana adik atau abang,
bahkan sampai kepada rakan baik sehingga perkataan kroni menjadi
perkataan yang begitu bernilai tinggi bagi orang politik untuk
menjatuhkan lawannya.
Pada masa yang sama, ada pemimpin yang dihormati kerana anak atau
isterinya. Orang pernah memuji Hasmah, isteri Dr M kerana sikapnya
‘humblenya’. Begitu juga orang memuji isteri Dr Muhammad Mursi kerana
sifat rendah dirinya. Tidak ketinggalan, orang turut memuji Tuan
Sabariah, isteri TGNA kerana kehidupan biasanya walau pun beliau adalah
isteri kepada seorang MB selama 20 tahun.
Hj Mohammad Sabu, seingat saya adalah antara pemimpin yang banyak
mengkritik pemimpin PAS kerana gaya hidup mereka dan keluarga.
Berbanding pemimpin Umno, pemimpin PAS tidaklah semewah mana, namun apa
yang baik bagi orang ‘baik’ adalah ‘buruk’ bagi orang muqarrabin.
Seseorang memberi tahu saya, ada anak MB daripada PR (termasuk anak
kepada pemimpin yang berstatus YB) membeli kereta baru. Kalau anak MB
itu membeli Persona baru, itu tidak menjadi pertikaian tetapi apabila
dia membeli Mini Cooper baru, selepas ayahnya jadi MB, orang mula buka
mata.
Orang tidak kata dia atau ayahnya menyeleweng atau menggunakan kuasa
untuk meraih kesenangan untuk diri sendiri dan keluarga. Cuma, orang
akan saling berpandangan sesama sendiri dengan penuh makna apabila
terpandang anak MB naik kereta baru yang agak luar biasa bagi mereka.
Itulah namanya fitnah. Seorang ayah terpalit dengan persepsi buruk
masyarakat umum hanya kerana tindakan luar biasa anak. Sepatutnya anak
itu tidak berbuat begitu dan sepatutnya di ayah juga tidak boleh alpa
untuk mengingatkan anaknya mengenai perkara itu. Kecuali, sudah terbukti
semenjak awal, yakni sebelum ayahnya menjadi MB, dia adalah seorang
‘bisnes man’ yang berjaya. Kalau ayahhya tidak jadi MB pun, dia mampu
memiliki semua itu.
Tindakan anak MB itu menyusahkan PAS dan orang PAS bahkan menunaskan
fitnah di dalam PAS. Ketika orang biasa PAS ke hulu dan ke hilir
berkempen mengajak orang ramai menyumbang kepada PAS untuk berdepan
dengan Umno / BN, tiba-tiba anak pemimpin PAS bergaya dengan kereta
bagus. Bayangkan perasaan orang biasa PAS yang naik motor ketika itu,
atau orang biasa PAS yang berkereta Toyota Ke 20 yang berkhidmat tanpa
pernah bermimpi untuk menikmati kelembutan ‘speed’ Mini Cooper.
Betul, saya tidak menafikan bahawa ada anak pemimpin PAS yang berjaya
dalam bisnes masing-masing. Namun, kedudukan mereka sebagai anak
pemimpin sepatutnya menyedarkan mereka supaya tidak melakukan sesuatu
yang membibitkam fitnah kepada ayah mereka. Fitnah kepada ayah mereka
adalah fitnah kepada PAS kerana ayah mereka adalah pemimpin PAS.
Mereka perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak seperti orang lain.
Mereka anak pemimpin yang diperhatikan dan dipersoalkan. Sama seperti
Nabi pernah mendidik para isterinya menerima hakikat bahawa mereka
adalah isteri seorang nabi, walau pun naluri kewanitaan mereka mendesak
mereka untuk hidup seperti isteri para pemimpin yang lain yang bukan
nabi.
Sama juga seperti Umar bin Abdul Aziz menyedarkan anak-anaknya bahawa
mereka adalah anak kepada amirul mukminin. Mereka boleh hidup sesuka
hati mereka jika mereka bukan anak seorang amir.
Ayah mereka tentu sahaja pandai mengemukakan hujah untuk
menjustifikasikan tindakan mereka, namun hujah ayah mereka tidak
berupaya memadam api fitnah yang terus ditiup supaya marak itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan