Sabtu, 23 Februari 2013

DUN Batu Tiga Peruntuk RM200,000 Naiktaraf Masjid, Surau


surautamanbukitsaga-1

SHAH ALAM : DUN Batu Tiga memperuntukkan sejumlah RM200,000 bagi pembangunan infrastruktur 15 buah masjid dan surau di kawasan itu sejak tahun 2011.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, ia adalah peruntukan terbesar DUN khusus untuk meningkatkan kemudahan dan keselesaan di setiap rumah ibadat umat Islam di Batu Tiga.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur itu termasuklah pembinaan tandas, menaik taraf tempat pengurusan jenazah, pembekalan hawa dingin dan memperbetulkan akses laluan muslimin dan muslimat.

“Saya beri keutamaan terhadap perkara ini kerana penganut Islam di kawasan Batu Tiga adalah lebih 70 peratus. Apabila diberi peruntukan ini, kita dapat lihat program mengimarahkan masjid berjalan rancak,” katanya dalam sidang media di Pejabat DUN Batu Tiga, di sini pagi tadi.

SURAU-NAJAHIYAH-S19-1

Tambahnya, sehingga kini, DUN Batu Tiga memiliki 8 buah masjid dan 36 buah surau keseluruhannya, di mana proses naiktaraf akan dilaksanakan secara berperingkat.

Dalam pada itu, Rodziah turut memaklumkan pihaknya sudah mengenalpasti sebuah tapak di sekitar Seksyen 20 sebagai lokasi pembinaan masjid baru bagi kegunaan penduduk setempat.

Beliau berkata, masjid yang dijangka mampu menempatkan hampir 5000 jemaah itu adalah untuk memudahkan orang ramai menjalankan ibadah terutama ketika solat Jumaat.

Bagaimanapun katanya, perkara itu masih dalam perancangan awal dan akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri bagi satu peruntukan khas.

photo 5

“Saya merasakan kepimpinan saya di sini ialah untuk memberi keutamaan kepada keselesaan penduduk terutama penduduk Islam menjalankan ibadah. DUN Batu Tiga ini bukan sahaja memiliki kepadatan penduduk yang tinggi, malah ia sering menjadi tumpuan orang ramai.

“Malah, Kerajaan Negeri juga mensasarkan lebih banyak pembinaan masjid baru dan saya akan menjadikan ia sebagai satu tumpuan serta meminta bajet khusus untuk melaksanakannya,” katanya.

Tiada ulasan: