Isnin, 18 Februari 2013

Dr M mengamuk kata insiden 'No' palsu

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Insiden ‘No’ di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran BN di Pulau Pinang baru-baru ini telah menyebabkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) mengamuk sehingga menyalahkan media alternatif.

“Di dalam media alternatif, hampir sesiapa sahaja yang boleh meletakkan apa-apa bahan yang mereka suka cakap di internet secara langsung, tanpa pengurus, editor atau sub-editor mengubah isi kandungannya.
"Kebebasannya hampir total. Inikah intipati demokrasi?” tanya Mahathir di tulisan terbaru dalam blognya.

Mahathir juga mendakwa video popular kini yang menggambarkan bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendapat jawapan ‘No’ daripada para hadirin di Pulau Pinang ketika ditanya ‘Are you ready for BN?” telah diubahsuai.

“Sekarang, ia telah didapati bahawa (video) tersebut telah direka dengan membawa satu kumpulan ke dalam orang ramai, dengan membekalkan mereka dengan video kamera dan mikrofon.

"Semasa PM bertanya ‘Are you ready for BN?’, kumpulan ini menjerit ‘No’ sebagai jawab balas. Ia membuat seolah-olah seperti semua hadirin menjerit ‘No’.

“Sebenarnya hanya sebilangan kumpulan saya yang menjerit ‘No’ ke dalam mikrofon mereka. Jawapan ‘Yes’ daripada orang ramai tidak dirakam dan tidak dimasukkan di dalam video di YouTube,” dakwa Mahathir.

Beliau berkata klip video popular di YouTube akhirnya dipercayai para pengamal sosial media sebagai versi yang benar walaupun sebenarnya ia adalah palsu.

Mahathir menyalahkan ini pada kebebasan di internet yang sebelum ini beliau sendiri yang memperkenalkan aktanya.

"Pembohongan boleh dibuat seolah-olah menjadi kebenaran ... Tetapi kebenaran juga boleh dibuat untuk kelihatan seperti pembohongan," katanya.

Mahathir kemudiannya menceritakan bahawa beliau dianiaya oleh para pengodam yang memaksa beliau menukar server untuk blog ‘Che Det’ kepunyaan beliau.

"Saya kehilangan kebebasan di media lebih daripada apa yang kerajaan boleh menghalang kebebasan saya. Secara jujur, saya lebih suka jika kerajaan yang menapis saya.

"Tapi tiada apa yang saya boleh lakukan untuk menghalang mereka yang ingin mengekang kebebasan saya melalui alternatif media,” tambah beliau.

Tiada ulasan: