Selasa, 19 Februari 2013

Bubar DUN S’gor: Pimpinan Pakatan, Adun bincang petang ini

 
Perbincangan dijangka bermula jam 3 petang itu akan dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pimpinan Pakatan Rakyat dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).



PETALING JAYA: Perbincangan mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan diadakan pada petang ini.

Perbincangan dijangka bermula jam 3 petang itu akan dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pimpinan Pakatan Rakyat dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).

Abdul Khalid dijangka mengumumkan hasil perbincangan itu pada minggu ini seperti yang dijanjikan oleh beliau.

“Mesyuarat untuk membincangkan isu pembubaran DUN Selangor ini akan diadakan pada petang ini. Ia dijangka selesai sebelum Maghrib. Ini adalah mesyuarat biasa dan ada agenda (bubar DUN) maka kita akan bincangkannya nanti,” menurut sumber kepada FMT.

FMT difahamkan mesyuarat hari ini bukan sahaja tertumpu kepada tarikh pembubaran DUN Selangor namun persiapan pilihan raya umum ke-13 secara keseluruhannya.

“Mesyuarat Pakatan Rakyat Selangor memang diadakan secara mingguan dan minggu ini jatuh pada hari ini. Agenda tidak tumpu pada tarikh bubar DUN tetapi secara keseluruhan mengenai persiapan PRU,” kata sumber.

Mesyuarat itu kebiasaannya akan diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

Tempoh matang DUN 22 April

Polemik pembubaran DUN Selangor ini mulai hangat apabila Abdul Khalid pada 30 Januari lalu, menyatakan hasrat membubarkannya selepas sambutan Chap Goh Mei bulan ini.

Hasrat Abdul Khalid itu juga dilaporkan bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar segera mengumumkan tarikh pilihan raya umum ke-13.

Tempoh matang bagi DUN Selangor adalah 22 April manakala bagi parlimen terbubar secara automatik pada 28 April 2013.

Abdul Khalid pada minggu lalu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengumumkan tarikh pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari selepas beliau mengumumkan keputusan pembubaran itu nanti.

Abdul Khalid berkata, menjadi tugas badan bebas itu untuk menyesuaikan tarikh tersebut dengan kerajaan Pusat jika mahu pilihan raya umum diadakan secara serentak.

Bagaimanapun kesesuaian tarikh itu juga akan menjadi penentu sama ada pilihan raya akan diadakan secara serentak atau berasingan.

Tiada ulasan: