Sabtu, 9 Februari 2013

BN berpakat dengan Felda halang program pembangkang

Mazlan Aliman berkata, beliau mempunyai bukti, Felda luluskan bajet untuk program politik Umno di Felda.



PETALING JAYA: BN berpakat dengan Felda untuk menghalang aktiviti pembangkang di kawasan tanah rancangan peneroka, kata Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Berbeza dengan akviti BN mendapat kerjasama sepenuhnya dari pengurusan Felda, dakwa Mazlan lagi.

“Bahkan, saya punya bukti, Felda luluskan bajet untuk program politik Umno di Felda,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazlan juga mendakwa, bendera BN dinaikkan sebanyak-banyaknya di seluruh pelusuk Felda.
Katanya, bukan setakat di jalan utama, tetapi sehingga ke lorong jalan perumahan dan di rumah peneroka.

“Petugas Umno tidak minta izin pun nak naikkan bendera BN di halaman rumah peneroka,” tambah Mazlan lagi.

Buka bonet

Menurutnya, suasana berbeza kepada Pakatan Rakyat. Pengurus Felda mengarah menurunkan bendera PAS dan PR.

Jawatankuasa Felda  gugusan Lokheng umpamanya, tidak membenarkan buat sebarang aktiviti pembangkang sehingga lepas pilihan raya.

“Ceramah disekat. Bayangkan, pengurusan Felda, JKKK, Relda, Felsco bergabung dengan samseng Umno seawal petang buat sekatan jalan di jalan utama masuk ke Felda untuk halang penceramah dan orang awam.

Di Felda Sungai Tengi, di Hulu Selangor samseng Umno memaksa pemandu kenderaan buka bonet. Bila disoal, untuk apa buka bonet?

Kata mereka, mungkin Mazlan Aliman menyorok dalam bonet kereta.

Manakala di Felda Teloi Timur, Sik di Kedah, polis menasihatkan supaya jangan menghalang Pakatan Rakyat  dan Anak hendak masuk Felda.

“OCPD minta buka laluan. Samseng Umno tidak peduli. Mereka angkuh, ” kata Mazlan.

Menurutnya, gelagat tidak bertamadun ini akan memusnahkan kepercayaan masyarakat Felda kepada BN.

Katanya, tindak tanduk dan akhlak samseng Umno akan memakan diri mereka sendiri.

“Yakinlah, semakin ganas samseng Umno, kian dekat BN dikuburkan,” kata Mazlan.

Tiada ulasan: