Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri
Abdul Aziz Mohd Yusof dianggap mengakui ada penipuan dalam daftar
pemilih.
Ini kerana beliau tidak dapat menjamin 100 peratus daftar pemilih dibersihkan sebelum pilihan raya.
Ahli
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih),
Maria Chin Abdullah berkata, kenyataan tersebut bukti penipuan pilihan
raya berlaku.
Katanya, SPR mesti telus untuk membuktikan badan itu bebas.
“Bermakna SPR akui akan berlaku penipuan dalam pilihan raya umum akan
datang. Kalau tidak mahu bersihkan daftar pemilih, bagaimana pula
dengan pemberian kad pengenalan kepada imigran untuk mengundi,” soalnya
ketika dihubungi.
Abdul Aziz hujung bulan lalu dilaporkan mengakui SPR tidak boleh
memberi jaminan daftar pemilih 100 peratus bersih kerana ia akan
terjejas oleh kematian setiap hari serta perubahan alamat apabila orang
berpindah.
Menurutnya, SPR membuat ‘semakan ketat’ dengan Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN) bagi memastikan mereka yang didaftarkan adalah rakyat dan
masih hidup.
Beliau bagaimanapun didakwa tidak mengendahkan bagaimana mereka yang
berkenaan mendapat kad pengenalan kerana mendakwa ia di bawah bidang
kuasa JPN.
“Kita
bukan bercerita soal orang mati. Kalau sekalipun tidak dapat bersihkan
sepenuhnya nama-nama daftar pemilih, berilah jaminan untuk bersihkan
sekurang-kurangnya 90 peratus seperti standard antarabangsa,” kata
Maria.
“Kalau inilah sikap Pengerusi SPR, bermakna mereka tiada usaha
membersihkan daftar pemilih. Adakah SPR buat lawak dengan kenyataan
seperti ini,” sinis beliau.
Mengulas tentang Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pemberian
IC pendatang asing di Sabah, Maria yang menyifatkan tindakan itu
pengkhiatan kepada negara mahu semua pihak terlibat bertanggungjawab.
“SPR tak boleh lari dari isu RCI kerana pihak bertanggungjawab membiarkan golongan ini mengundi adalah SPR sendiri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan