Oleh: Aedi Asri
PETALING JAYA Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang menuduh beliau terlibat dalam pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing di Sabah.
Anwar menegaskan perkara itu tidak pernah dibawa ke kabinet dan beliau sendiri tidak pernah mempengerusi sebarang mesyuarat.
Sebaliknya, Anwar berkata, pasukan khas itu dikendalikan Mahathir, orang kanannya, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin dan timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.
“Tanya semua menteri yang ada dalam kabinet pada masa itu dan selepasnya, (Projek IC) tidak pernah dibentang dalam kabinet. Tiada satu minit yang (dapat) tunjukkan saya hadir dalam mana-mana mesuarat task force.
“Tidak pernah ada laporan dikemukakan kepada saya, sama ada selaku Menteri Kewangan atau Timbalan Perdana Menteri. Tidak pernah ada sama sekali rekod yang berkenaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN pagi tadi.
“Soalnya, apakah Mahathir boleh nafikan beliau bertanggungjawab asaskan taskforce? Dia yang lantik Aziz Shamsuddin dan Megat Junid. Semua laporan sampai kepada pengetahuan beliau,” katanya lagi.
Anwar sebelum ini menyatakan kesediaannya memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Projek IC di Sabah jika dipanggil untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, beliau turut mengulangi gesaannya agar RCI turut menyiasat penglibatan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam hal itu.
“Kita tahu taskforce itu berterusan. Jadi sepatutnya tanya juga (kepada) Tun Abdullah dan Najib. Ini wajar ditanya,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan