Ahad, 10 Februari 2013

Anwar bela 7 pemimpin Islam Bangladesh, gesa henti perbicaraan

Aliff Fikri

KUALA LUMPUR :  Kerajaan Bangladesh digesa supaya menghentikan perbicaraan berat sebelah dan bermotif politik terhadap tujuh pemimpin kumpulan Islam, Jamaat Islam, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami bimbang dengan perbicaraan yang dijalankan dengan cara melanggar piawaian antarabangsa. Justeru kami mendesak agar perbicaraan dijalankan mengikut prosedur yang betul.

“Kehendak keadilan, kedaulatan undang-undang dan waran perbicaraan yang adil, suspek diberi hak penuh, kemudahan membela diri dan tidak tertakluk kepada proses yang asasnya cacat,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Jamaat-e-Islami_Pakistan_flag

Tujuh pimpinan Jamaat Islami dibicara di Tribunal Jenayah Antarabangsa Dhaka atas tuduhan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan semasa perang 1971 pembebasan menentang Pakistan.

Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa turut menyelar penahanan, tuduhan dan perbicaraan berkenaan berikutan ia bermotif politik yang bertujuan menyekat pimpinan Jamaat Islami dari menyertai pilihan raya Bangladesh.

Mengecam ketidakadilan terhadap mereka, Anwar berkata, perlindungan yang seperti yang tertera dalam perlembagaan mesti dipatuhi.

“Perlindungan itu mestilah terpakai sama rata kepada ahli-ahli pembangkang. Mereka tidak harus dianiaya kerana perbezaan politik,” katanya.

Tiada ulasan: