Norfatehah Ahmad, 23, memberitahu Malaysiakini bahawa dua lelaki itu, yang memperkenalkan diri mereka sebagai ahli Umno, juga bertindak merampas risalah mereka.
Kejadian itu didakwa berlaku di pasaraya Mydin pada jam 3 petang.
Menurutnya, kedua-dua lelaki itu juga cuba mengheret mereka ke
bangunan Umno yang terletak beberapa meter dari situ, dengan menarik tangan dan tudung mereka.
"Kami enggan ikut. Selepas itu, mereka menarik lagi tangan saya dan mengugut untuk melakukan sesuatu kepada saya jika saya tidak ikuti mereka," kata pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
"Malah mereka juga menunjukkan penumbuk kepada kami dan memberi amaran supaya kami jangan berada (di kawasan pilihan raya) Pekan. Saya begitu takut dan menangis. "
Selepas memanggil rakan-rakan mereka supaya membantu, kedua-dua aktivis pelajar itu diiringi oleh dua penduduk tempatan dan menyertai semula rakan-rakan mereka 30 minit kemudian.
Sementara itu, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Kamaruddin memberitahu Malaysiakini, kira-kira 20 penduduk tempatan dan anggota PAS membantu membawa mereka ke sebuah madrasah yang juga merupakan bilik gerakan PAS.
Dalam SMS kepada Malaysiakini, Ahmad Syukri bagaimanapun mendakwa sekumpulan lebih 50 orang yang datang menaiki kereta dan bermotosikal bertindak mengepung madrasah itu.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut beredar dari madrasah dan menunggu di jalan masuk, selepas lebih ramai penduduk datang membantu pelajar berkenaan.
Ahmad Syukri memberitahu bahawa mereka berjaya mendapatkan sebuah bas untuk membawa pelajar keluar dari Pekan malam ini.
Ketika dihubungi Malaysiakini kemudiannya, Ahmad Syukri berkata mereka mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur "atas sebab keselamatan".
"Kita akan buat berbincang mengenai isu ini," katanya.
Menurutnya, mereka akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur dengan sebuah bas dan dua buah kereta kira-kira jam 10 malam ini.
Sebelum itu, Ahmad Syukri mendakwa kira-kira 30 penyokong Umno bertindak merampas dan membakar risalah itu yang bertajuk 'surat dari mahasiswa untuk warga Pekan.'
Katanya, salah seorang penyokong Umno itu mahu mereka meninggalkan Pekan pada hari ini juga.
Menurut Ahmad Syukri lagi, lelaki itu mengherdik mereka dengan berkata: "Ini tempat PM kami. Kita jaga tempat ini. Kamu berambus dari Pekan sekarang juga.
Nota: Laporan tambahan oleh Abdul Rahim Sabri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan