Jumaat, 2 November 2012

Penganjur jamin himpunan esok aman

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Pengarah Kebangsaan Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa pelancaran himpunan itu di Negeri Sembilan esok akan berlangsung dalam keadaan aman.

Bagaimanapun katanya, pihaknya turut mengharapkan kerjasama pihak polis untuk mengawal keselamatan pada himpunan itu esok dari segala provokasi yang tidak diingini.

"Saya jamin ianya akan berlangsung dalam keadaan aman.

"Kita juga harap pihak polis untuk menjaga keselamatan jika ada pihak yang mahu melakukan provokasi untuk mengganggu himpunan tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas soal permit, Timbalan Presiden PAS itu juga berkata, perkara itu tidak timbul kerana program tersebut dibuat di kawasan tanah persendirian dan tidak menyalahi Akta Himpunan Aman 2012 yang baru digubal.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly berkata himpunan yang dijadualkan Sabtu ini itu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan.

Ini kerana borang permohonan dari penganjur tidak dapat diproses ekoran maklumat permohonan yang tidak lengkap seperti yang dikehendaki undang-undang.

Himpunan esok dijadual berlangsung bermula jam 4 petang hingga 12 malam di Taman Seremban Jaya, Seremban.

Kesemua pimpinan utama Pakatan Rakyat dijangka akan hadir pada program itu termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Tiada ulasan: