Khamis, 29 November 2012

PATI – Belenggu Sabah

 Oleh T.K. Tan



Masalah peningkatan kadar kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sudah tidak terkawal di Sabah bakal menjejas seluruh struktur ekonomi, sosial, demografi dan fizikal Sabah. Baru-baru ini rakyat Sabah telah menyuarakan isu PATI ini sebagai isu yang paling mustahak untuk diselesai oleh kerajaan. Persoalannya, mampukah BN menyelesaikan masalah yang diciptakannya sendiri?

Sejarah masalah PATI Sabah bermula hampir sewaktu penubuhan Malaysia. Dalam tahun 1970an, disebabkan persengketaan politik dan agama di selatan Filipina, ramai pelarian berhijrah ke Sabah mencari tempat bernaung. Akibatnya mereka diberi hak status pelarian politik dan dikenali sebagai pelarian IMM 13.

Setakat tahun 2009, sudah ada 81,000 penduduk Sabah yang diberi status IMM 13 yang memberi mereka hak untuk bergerak secara bebas dan mencari pekerjaan.

Namun penyerapan PATI ini telah bertambah secara mendadak. Oleh kerana kebanyakan pelarian ini beragama Islam terutama yang beragama Islam, mereka dengan senangnya dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat Sabah.

Kesannya, komposisi etnik dan agama Sabah berubah secara mendadak. Pada tahun 1960, 62 peratus daripada penduduk Sabah adalah dari golongan bukan Islam. Pada tahun 2010 pula, penduduk beragama Islam membentuk 65 peratus daripada penduduk Sabah.

Penduduk Sabah yang bejumlah 651,304 pada tahun 1970 kini telah meningkat sehingga 3,117,405; pertumbuhan sebanyak 479 peratus, satu angka yang sangat menakjubkan! Pendatang asing kini merupakan 28 peratus daripada jumlah penduduk Sabah.

Daripada 3.1 juta penduduk Sabah, dianggarkan 1.7 juta adalah golongan PATI. Mengikut Dr Chong Eng Leong, seramai lebih daripada 800,000 PATI ini telah mempunyai kad pengenalan biru atau kewarganegaraan Malaysia.

Senjata Politik

Satu program yang disyaki ditaja dan diadakan oleh kerajaan yang dikenali sebagai Projek IC; disyaki dimulakan pada tahun 1990an dengan matlamat untuk merubah komposisi penduduk dan pengundi di Sabah. Ia adalah untuk memberikan kelebihan politik kepada parti-parti tertentu terutamanya dari segi pola pengundian negeri Sabah.

Mutalib Md Daud, seorang penulis yang telah banyak menulis mengenai topik PATI di Sabah yang merangkap Setiausaha Eksekutif UMNO Bahagian Silam, menyatakan dalam satu kes mahkamah pada tahun 1999 bahawa beliau mendapati daripada 43,000 ahli baru UMNO yang direkrutkan pada masa itu, hanya 14,000 sahaja mempunyai kad pengenalan (KP) biru yang sah, selebihnya mempunyai KP yang diragui status mereka. (Hakim Muhd. Kamil Awang, Petisyen Pilihanraya No K11, 1999)

Penggunaan PATI sebagai pengundi disyaki telah digunakan dengan dahsyat sekali. Di antara tahun 1990 hingga 1994 Sabah berada dibawah pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS). PBS telah menarik diri dari gabungan BN sejurus sebelum pilihanraya umum 1990. Pada tahun 1994 Sabah mengadakan pilihanraya negerinya (PRN).

PBS dijangkakan akan menang PRN tersebut dengan mudah kerana sentimen anti kerajaan pusat yang berleluasa di Sabah ketika itu. Ini kerana Jeffrey Kitingan adik kepada ketua menteri Sabah yang popular ketika itu iaitu Joseph Pairin Kitingan baru saja dilepaskan daripada penahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Januari 1994.

Namun jumlah pengundi di Sabah meningkat secara luarbiasa, yakni dalam kadar 17.6 peratus untuk tempoh daripada 1990 hingga 1995 berbanding dengan kadar nasional 13 peratus. Kebanyakan daripada pengundi baru yang didaftarkan ini disyaki adalah daripada golongan PATI.

Akhirnya PBS menang tipis dengan majoriti sebanyak dua kerusi DUN sahaja. Setelah PBS jatuh daripada tampuk kuasa dengan hinanya angkara ADUN yang melompat ke BN, BN menerajui semula kerajaan negeri sejak dari detik tersebut tanpa dikalahkan dalam pilihanraya.

RCI

Dalam tinjauan pendapat oleh Merdeka Centre pada bulan September lalu, isu PATI disenaraikan sebagai isu yang utama di Sabah (53 peratus). Dalam tinjauan tersebut, sebanyak 87 peratus daripada responden menyatakan keinginan untuk melihat satu Suruhanjaya Diraja Penyiasatan (RCI) ke atas isu PATI ini. Namun, hanya 54 peratus daripada mereka yang maklum balas percaya RCI ini akan menyelesaikan masalah ini.

Pada 1 Jun 2012, kerajaan pusat akhirnya bersetuju untuk mengadakan RCI untuk menyiasat masalah berkaitan dengan pendatang asing tharam di Sabah

Namun, terma rujukan (TOR) untuk tujuan suruhanjaya tersebut nampak lemah isinya. Satu daripada terma tersebut berbunyi: “Untuk menyiasat jika penganugerahan KP atau status warga negara itu mengikut undang-undang.”

Pengumuman RCI tersebut hanya berlaku beberapa hari setelah beberapa pemimpin BN Sabah berpaling tadah ke pihak oposisi sebagai membantah sikap kerajaan yang tidak acuh dalam menangani masalah PATI ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: