KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika benar Umno tidak takut.Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 menunjukkan rakyat perlu memilih antara politik ketakutan yang dijulang parti itu dan politik harapan yang diperjuang Pakatan Rakyat, demi Malaysia yang lebih baik.
“Satu-satunya cara untuk membuktikan Umno tidak takut mahupun panik dalam hari-hari menjelang PRU 13 ini adalah dengan Presiden Umno berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang serupa disebut oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menakut-nakutkan rakyat menunjukkan sifat sebenar rejim Umno yang semakin nazak.
Izzah berkata, sebagai pemimpin, Shahrizat harus menunjukkan teladan yang baik dengan membincangkan masa depan yang cerah buat semua, bukannya mengeluarkan kata-kata ancaman bahawa akan berlaku sengketa perkauman 13 Mei demi menyelamatkan Umno.
“Nada Datuk Seri Shahrizat yang begitu cemas memikirkan apa yang berlaku jika Pakatan Rakyat memenangi tampuk pimpinan negara pada PRU 13 nanti turut membuktikan betapa beliau tidak memahami dan tidak mengenali suara
hati para pengundi, teruma rakyat Malaysia yang sudah celik politik dan punyai keinginan kuat untuk berubah,” katanya.
Tegas beliau, Pakatan Rakyat tekad pada perubahan dan agenda reformasi melalui proses demokrasi, dan akan berusaha untuk perkukuh dan memperkasa sistem demokrasi pilihan raya di Malaysia.
“Oleh itu, saya tidak segan mengulangi kata-kata Datuk Ambiga Sreenevasan: ‘Kami mahu perubahan melalui peti undi, jika perubahan tiba’,” kata Izzah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan