Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR: Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya (UM) di
Jalan Pantai Baru di sini diarah tutup oleh kerajaan Umno BN mulai
Sabtu ini, tanpa surat pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (Jawi).
Menurut
Pengerusi Jawatankuasa Jemaah Mempertahankan Masjid Ar-Rahman, Jamlus
Mansor, kain rentang dan notis pemberitahuan mengenai penutupan masjid
yang digantung sejak seminggu lalu menimbulkan keresahan penduduk.
Notis penutupan juga tidak dinyatakan tempoh berapa lama masjid tersebut diselenggara.
“Kami sedih perkara ini berlaku, dan kita tidak dimaklumkan tindakan awal yang mahu diambil berhubung penutupan itu.
“Ini satu-satunya masjid yang dikatakan sebagai contoh pimpinan
dahulu, tapi sekarang nak diubah suai. Kita tak halang kerja-kerja
tersebut. Tapi jangan sampai sekat orang ramai nak solat sedangkan ruang
masjid ini luas.
“Malah notis yang ditampal juga tanpa pengesahan daripada Jawi,”
katanya pada sidang media di luar pagar masjid, hari ini ekoran halangan
oleh seorang yang mengaku ahli jawatankuasa masjid tersebut.
“Ini masjid tertua dan jadi tumpuan pelajar universiti, pusat bahasa dan orang-orang luar untuk solat.
“Apa tujuan sebenar ia diarah tutup. Adakah melibatkan isu politik
atau isu agama. Kita mahu perkara ini dijelaskan,” katanya lagi.
Sementara
itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang hadir sama
dalam sidang media itu menggesa kerajaan menjelaskan kepada umum mengapa
masjid itu perlu ditutup kepada umum.
“Kita tidak menolak keperluan (naik taraf), tapi saya mahu laporan
daripada jurutera serta laporan daripada syarikat pemaju untuk
menunjukkan tahap kerosakan di masjid dan adakah kemungkinan boleh buka
ruangan tertentu untuk memudahkan jemaah daripada UM dan penduduk
sekitar.
“Kalau perlu tutup di setengah bahagian tidak mengapa. Apa yang kita
mahu diberikan ruangan solat, solat Jumaat dan kuliah yang dianjurkan
pihak masjid,” katanya.
Justeru, Izzah menuntut Pengerusi Masjid, Datuk Ibrahim Thamby Chik
daripada Umno Lembah Pantai tampil menjelaskan berkenaan penutupan itu.
“Sepatutnya masjid dijadikan tempat untuk diimarahkan semua. Saya
datang ke sini tidak membawa bendera parti. Kita utarakan kebimbangan
para jemaah.
“Kita minta secara baik supaya semua laporan ini diberikan kepada umum secara terbuka,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.
Hadir sama, Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan