SHAH ALAM : Strategi pelaburan yang digunapakai Kerajaan Negeri kini berkesan dan kurang risiko dan tidak mengurangkan wang rizab simpanan negeri.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, strategi yang diamalkan Kerajaan Negeri untuk tempoh jangka pendek adalah melabur dalam simpanan bank di institusi perbankan di negara ini.
“Strategi yang dilakukan adalah melabur dalam simpanan bank di mana kita akan mendapat pulangan dan modal atau ‘capital’ kita tidak hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Philip Tan Choon Swee (BN-Telok Datok) mengenai pulangan pelaburan di Selangor yang didakwa berkurangan mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Dalam pada itu, sehingga 31 Oktober 2012, rizab simpanan Kerajaan Negeri meningkat sehingga mencecah RM2.570 bilion.
Abdul Khalid menjelaskan, sebelum ini Kerajaan Negeri pernah membuat pelaburan dalam saham syarikat-syarikat di bursa saham dan syarikat milikan kerajaan namun tidak memberikan pulangan yang menguntungkan.
Katanya, berdasarkan rekod lima hingga 10 tahun lalu, Kerajaan Negeri tidak ada kepakaran untuk melabur dalam saham yang diurusniaga di pasaran saham.
“Kita tidak galakkan untuk melabur dalam pasaran saham kerana sebagai contoh…apa yang sudah di labur seperti di negara Jepun sudah kehilangan modal…kalau labur dahulu sahamnya bernilai RM3, sekarang cuma tinggal RM1,” katanya yang merupakan Adun Ijok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan