Khamis, 29 November 2012

Persimpangan Bertingkat Sebelah I-City Tidak Pakai Wang Rakyat




SHAH ALAM  : Persimpangan bertingkat bersebelah I-City akan dibina menggunakan dana yang diperuntukkan oleh tabung Kerajaan Negeri yang menerima sumbangan daripada pemaju-pemaju di negeri ini.

Justeru, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias bahawa pembangunan persimpangan bernilai RM 46 juta itu menggunakan dana rakyat.

“Kita tidak menggunakan wang rakyat sebaliknya peruntukan diambil daripada pemaju-pemaju yang membayar mengikut sistem kiraan ‘Gross Development Value’ (Nilai Pembangunan Kasar).

“Ini bermakna, semakin tinggi atau besar pembangunan, semakin tinggi sumbangan kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya sewaktu perbahasan usul peruntukan pembangunan 2012 di Sidang DNS hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid memberitahu keputusan pembangunan persimpangan bertingkat itu diputuskan sebelum tahun 2008 lagi.

“Namun, perlaksanaanya tidak jelas maka kita bertindak untuk mengubah cara perlaksanaanya agar kesemua proses dari awal direkod dengn telus dan jelas untuk tujuan audit.

“Itulah sebabnya juga kita memasukkannya dalam belanjawan negeri,” tegasnya.

Bagaimanapun, Abdul Khalid yang juga Adun Ijok berkata beliau tidak mencampuri urusan perlaksanaan tersebut.

Segala perancangan dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan dipantau oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertindak sebagai perunding bagi projek tersebut.

Tiada ulasan: