SINAR HARIAN
Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, perbuatan meminta campur tangan asing dalam pentadbiran negara boleh menggugat keharmonian dan kemakmuran negara.
"Tak cukup jelajah dalam negara, mereka menjelajah pula ke luar negara sebagai pengkhianat yang memburukkan negara sendiri. Janganlah kita jadi pemimpin sebegini, menang sorak hari ini, esok lusa negara tergadai," katanya ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Bahagian Parit Sulong berkata, sikap pembangkang yang sanggup memperlekeh amalan agama Islam dengan isu doa dan fatwa turut mengelirukan umat Islam.
Zulkarnain berkata, semua pihak sepatutnya berpegang kepada konsep saling mengingatkan kepada kebaikan dan menerima sebarang perbezaan dalam usaha memperjuangkan Islam.
Sementara itu, wakil Selangor Latt Shahrizan Abdullah berkata, golongan muda di negeri itu telah bersedia untuk menolak pakatan pembangkang yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya akan datang setelah sedar kerajaan negeri Selangor tidak langsung mempedulikan mereka.
Ketua bahagian Umno Petaling Jaya Utara itu berkata, rata-rata golongan muda di Selangor yang hampir sejuta orang dan mewakili separuh daripada pengundi, tidak boleh lagi dianggap sebagai 'milik PKR' seperti mana yang diuar-uarkan pembangkang.
Beliau berkata, hakikatnya pengundi muda di Selangor, malah di seluruh negara mula sedar bahawa PKR, Pas dan DAP lebih banyak bertelagah mengenai soal siapa yang lebih layak menjadi perdana menteri. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan