SINAR HARIAN
JEDDAH - Seramai 310 jemaah haji Malaysia menjadi kumpulan pertama
berangkat pulang ke tanah air hari ini pada kira-kira 7 pagi waktu
tempatan dengan menaiki pesawat Saudi Airlines.
Pengarah Operasi Tabung Haji Jeddah Abdul Karim Samad berkata jemaah
berkenaan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di
Sepang pada kira-kira 9.15 malam waktu Malaysia.
Beliau berkata kesemua 28,000 jemaah haji Malaysia akan pulang ke tanah
air secara berperingkat dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 28
Nov.
Sebelum ini mereka di tempatkan di asrama Tabung Haji "Madinahtul
Hujaj" di sini untuk proses transit selama 24 jam selepas tiba dari
hotel masing-masing di Makkah.
"Di sini petugas Tabung Haji menguruskan kesemua urusan bagasi, pasport
dan tiket penerbangan, biasanya jemaah haji kita meluangkan masa dengan
berehat," kata Abdul Karim kepada Bernama di sini, hari ini.
Katanya, penerbangan ke Johor Baharu akan bermula pada 3 Nov, Pulau
Pinang (12 Nov), Kuala Terengganu (12 Nov), Kuching (13 Nov) dan Kota
Kinabalu pada 15 Nov ini.
Beliau berkata 56 peratus daripada 28,000 jemaah haji Malaysia akan
singgah dahulu ke Madinah untuk melakukan ziarah bermula 6 Nov. Mereka
akan berada di Tanah Suci itu selama lapan hari.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati jemaah haji Malaysia yang
ditempatkan di Madinahtul Hujaj berada dalam keadaan sihat dan tidak
sabar untuk balik ke kampung halaman masing-masing selepas berada lebih
kurang 40 hari di Tanah Suci.
Walaupun gembira tetapi rasa sayu dan sedih tidak dapat disembunyikan
kerana masing-masing mengakui suasana beribadah di Tanah Suci sangat
berbeza berbanding dengan tempat lain.
Seorang pesara guru, Ruslina Awang, 58, mengakui sangat sedih untuk
meninggalkan Makkah dan juga Madinah di mana junjungan besar Rasulullah
SAW disemadikan.
"Entah bila dapat bertemu (menziarahi makam) baginda lagi, kalau
diizinkan Tuhan, saya mahu kembali melakukan ziarah di Madinah dan
beribadat di Makkah," katanya.
Seorang lagi jemaah, Megat Hamzah, 48, berkata walaupun berasa gembira
untuk pulang ke tanah air tetapi pada masa yang sama hati terasa berat
untuk meninggalkan Makkah.
"Setiap hari kita solat, kita nampak Kaabah depan mata, semasa di
Madinah pula, kita terasa dekat dengan Rasulullah SAW...saya mahu datang
ke sini (Makkah) jika keadaan dan kewangan mengizinkan," katanya.-
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan