Isnin, 26 September 2011

Pencerobohan lori pasir ganggu penduduk

Penduduk Taman Pusing Baru mengadu bahawa jalan-jalan taman itu menjadi kotor kerana dipenuhi dengan tanah dan pasir di merata tempat.



BATU GAJAH: Pencerobohan lori pasir di Taman Pusing Baru, Batu Gajah baru-baru ini bukan sahaja merunsingkan penduduk malah kebimbangan turut disuarakan berhubung keselamatan pengguna jalan dan kanak-kanak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh V Sivakumar, penduduk mengadu pencerobohan itu bermula gara-gara projek perumahan berhampiran taman yang bersempadan dengan Kampung Pinang B.

Masalah timbul sejak empat hari lalu yang menyebabkan jalan-jalan taman kotor dan dipenuhi tanah serta pasir di merata tempat.

“Projek perumahan telah dimulakan di kawasan itu yang melibatkan pembinaan lebih kurang 94 unit rumah. Penduduk Taman Pusing

Baru mengadu bahawa jalan-jalan taman itu menjadi kotor kerana dipenuhi dengan tanah dan pasir di merata tempat.

“Tambahan pula debu dan habuk berterbangan dan memasuki rumah yang berhampiran. Rumah dan kereta mereka menjadi kotor dan perlu dibersihkan dan dicuci lebih kerap lagi.

“Orang ramai juga bimbang terhadap keselamatan pengguna jalan dan kanak-kanak yang bermain pada waktu petang,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT hari ini.

Ujar Sivakumar, penduduk memberitahu setiap hari berpuluh-puluh lori keluar masuk ke taman itu yang turut mengakibatkan pencemaran bunyi yang keterlaluan.

Turut dipercayai lori terbabit akan beroperasi untuk satu tempoh lama bagi meninggikan paras tanah rendah di kawasan tersebut.

.

Sivakumar dan bekas Ahli Majlis Batu Gajah Chan Chin Fah yang turun padang melihat kawasan terbabit kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak Majlis Daerah Batu Gajah supaya tindakan sewajarnya diambil.

“Menurut penduduk, setiap hari berpuluh-puluh lori masuk satu dan keluar satu demi satu ke kawasan taman itu juga mengakibatkan pencemaran bunyi yang keterlaluan.

“Ini menjadi gangguan kepada orang-orang tua dan bayi-bayi di taman itu. Dipercayai lori-lori ini akan beroperasi untuk satu tempoh masa yang lama bagi meninggikan paras tanah rendah di kawasan itu.

“Ini mungkin melibatkan beratus-ratus lori yang membawa tanah akan memasukki kawasan taman ini sebelum kerja-kerja pembinaan rumah dimulakan,” kata Sivakumar.

Cadangan turut diketengahkan agar pihak terbabit membuka jalan baru ke tapak projek tanpa melalui jalan taman tersebut.

Tiada ulasan: