Jumaat, 30 September 2011

Forum Mahasiswa Untuk Negara 4 Okt

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Rentetan daripada Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 3.0 minggu lalu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan menganjurkan Forum Mahasiswa Untuk Negara di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), 4 Oktober ini.

Bertajuk Sistem Politik Malaysia: Transformasi vs Reformasi, forum tersebut akan mengupas intipati Deklarasi Mahasiswa Malaysia yang dicapai daripada kongres tersebut khususnya dalam konteks politik iaitu 'Political Reform' yang akan diperjuangkan oleh mahasiswa.

Menurut Sekretariat Media Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Kamarudin, forum yang memfokuskan kepada sistem politik negara ini juga akan mengupas beberapa subjek utama ke arah pembinaan negara yang lebih matang pada masa akan datang.

"Diharapkan supaya ia mampu memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia khususnya mahasiswa kepada struktur pembinaan negara yang utuh yang dapat menjamin kepada 'Good Governance' itu sendiri," katanya dalam kenyataan media kepada Harakahdaily, hari ini.

Ianya akan menampilkan tiga ahli panel iaitu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Fahmi Samsuddin dan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Manakala moderator ialah Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selain SMM, forum ini juga mendapat sokongan daripada Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Student & Youth Democratic Movement (DEMA), Pro Mahasiswa Nasional (Pro M), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI), Sister In Movement (SIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan muda dijemput menghadairi forum yang bakal memberikan perspektif baru dalam reformasi poltik kepada mereka.

Tiada ulasan: