Rabu, 28 September 2011

Kedah terus utuh dengan pentadbiran sifar rasuah

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Setelah tiga tahun mengurus dan mentadbir negeri, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah ternyata terus utuh dengan pentadbiran sifar rasuah.

Sehingga kini tiada kes rasuah yang disabitkan kepada pemimpin kerajaan mahupun pegawai kerajaan, malah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah ternyata berjaya mentadbir negeri dengan baik dengan mengutamakan keadilan, pertanggungjawaban dan intergiti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan, penentangan terhadap rasuah merupakan dasar utama Kerajaan Pakatan Rakyat dan sesiapa sahaja yang terbabit dengan rasuah hendaklah dihukum dan tidak dilindungi, manakala semua urusan kerajaan mestilah dilaksanakan secara telus tanpa sebarang penyelewengan.

Menurut beliau, sejak mengambilalih tampuk pemerintahan negeri, beberapa langkah berhubung hasrat kerajaan untuk menegakkan pentadbiran yang berintegritikan telah dilaksanakan.

Katanya, antaranya termasuklah Menteri Besar dan Exco telah membuat pemotongan gaji dan elaun secara bulanan ke Tabung Tunku Mahmud serta pengurangan elaun mesyuarat bagi Menteri Besar dan Exco yang menjadi anggota Lembaga Pengarah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).

"Ahli-ahli Lembaga Pengarah GLC tidak lagi dibayar elaun tetap bulanan seperti yang diamalkan semasa Kedah berada di bawah pemerintahan BN sebelum ini yang mencecah sehingga RM7 juta setahun tetapi sekarang hanya menerima eluan hadir mesyuarat yang tidak pun mencapai RM2 juta setahun," katanya.

Setelah Pakatan Rakyat memerintah Kedah, menurut beliau seperti yang dicatatkan di dalam buku Kedah Sejahtera 2008, Menteri Besar tidak lagi menggunakan jet khas, tidak lagi tinggal di hotel mewah ketika ada urusan kerja di Kuala Lumpur, sebaliknya hanya tinggal di apartmen biasa yang disewa oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, Menteri Besar turut meminimumkan perjalanan ke luar negara dengan hanya 3 kali dalam tempoh 3 tahun, manakala Exco pula dinasihati menaiki penerbangan kelas ekonomi jika melakukan perjalanan dengan pesawat walaupun layak menggunakan "business class".

"Sebaik mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2008, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah terus bertindak dengan merangka dan melaksanakan aktiviti strategik dalam bidang pembangunan, pendidikan, pembangunan insan, ekonomi, pertanian, industri, kebajikan dan pelancongan demi merealisasikan gagasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua," katanya.

Di dalam buku yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah itu, Azizan menegaskan, walaupun baru tiga tahun mengurus dan mentadbir negeri, pencapaian Kerajaan Negeri dapat dilihat dengan jelas oleh rakyat.

Katanya, dalam masa yang sama, rakyat juga dapat melihat usaha ke arah kemajuan negeri dan kebaikan rakyat akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri melalui Pelan Strategik Kedah Sejahtera 2010-2015 yang telah dilancarkan sebelum ini.

Dari sudut pentadbiran, setelah mengambil alih pemerintahan negeri, pemberian kontrak sesuatu projek di bawah Kerajaan Negeri telah dilaksanakan secara telus dan adil.

Hasilnya, menurut beliau, Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2009 menyatakan Kedah telah berjaya meningkatkan hasil sehingga 205 peratus dari hasil balak berbanding tahun 2007, hasil pemberian konsesi secara tender terbuka," jelasnya.

Sejak Pakatan Rakyat memerintah Kedah, perakuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 jelas menunjukkan Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan hasil negeri.

"Buat pertama kalinya, GLC telah berjaya menyumbang sebanyak RM30 juta kepada Kerajaan Negeri. Sumbangan seperti ini tidak pernah dilakukan semasa Kedah berada di bawah BN sebelum ini.

"Lebih jauh dari itu, ekoran dari perancangan strategik yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah, Defisit Belanjawan 2010 sebanyak RM16 juta telah berjaya diatasi," jelasnya.

Tiada ulasan: