Khamis, 29 September 2011

Musuh gagal pecahkan Pakatan Rakyat

Abd Shukur Harun



Tidak syak lagi keputusan kesepakatan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat malam kelmarin mengenai isu hudud sudah tentu tidak akan mengembirakan musuh-musuh Pakatan Rakyat yang selama ini ingin benar melihat perpecahan dalam Pakatan.

Tentu saja ini sebuah kematangan politik yang luar biasa ditunjukkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat apabila mereka memutuskan dalam suasana mesyuarat yang sangat harmonis bahawa mereka akan terus mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dicapai, di samping menghormati perbezaan pendapat.

Keputusan yang penting ini mengambil kira kepentingan perpaduan dalam Pakatan Rakyat, kepentingan rakyat dan asas-asas demokrasi. Keputusan yang matang ini juga menunjukkan sekali lagi kejayaan Pakatan mengatasi cabaran getir yang datang silih berganti dari musuh Pakatan yang tidak henti-hentinya mengharapkan kehancuran Pakatan.

Berasaskan kepercayaan kita yang sangat utuh terhadap kekuasaan Allah, kita yakin ini semua adalah petanda pertolongan Allah, bahawa Allah mahu melindungi Pakatan dan menggagalkan niat buruk musuh Pakatan Rakyat.

Malam kelmarin (28 September), adalah detik bersejarah bukan saja bagi warga Pakatan Rakyat bahkan penyokongnya serta rakyat prihatin yang cintakan demokrasi, menentang rasuah dan penyelewengan serta menentang kezaliman dalam pelbagai bentuk dan cara. Ia adalah sebuah tarikh bersejarah yang wajar diingati sepanjang masa oleh warga Pakatan Rakyat.

Lebih dari itu dua hari selepas persetujuan ini, PAS akan menyambut Ulangtahunnya yang ke-60 di Kepala Batas, tempat parti itu dilahirkan. Oleh itu keputusan Pakatan ini tentu saja mempunyai erti yang sangat besar bahawa bagi PAS bahawa isu hudud sudah dapat diselesaikan.

Saya percaya ini adalah hadiah istimewa pemimpin Pakatan Rakyat kepada PAS yang menyambut ulangtahunnya.

Isu hudud ini, seperti diketahui sejak bertahun-tahun, digunakan oleh musuh PAS, khususnya di zaman Dr. Mahathir Muhamad, untuk mengharubirukan PAS. Isu ini tidak lagi dilihat sebagai persoalan agama, di mana setiap umat Islam wajib menerima syariat Islam sepenuhnya, tetapi sudah menjadi sebagai isu politik yang bertujuan supaya kalangan bukan Islam tidak menerima PAS yang menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

Dalam masa yang sama PAS terus bertegas untuk memperjuangkan hukum hudud kerana ini adalah perjuangannya yang hakiki. Untuk bertahun-tahun lamanya pula, pimpinan PAS menegaskan bahawa hukum hudud hanya dilaksanakan kepada kalangan umat Islam, khususnya di Kelantan.

Pemimpin BN dan media yang mereka kuasai terus menerus menyerang, siang dan malam, dengan maksud yang sama yang sudah diketahui umum.

Boleh diduga selepas ini pemimpin BN dan media yang mereka kuasai akan terus memutarbelitkan isu ini dan akan meneruskan serangan mereka dengan pelbagai cara. Oleh itu, Pakatan Rakyat mestilah terus menerus bersedia menghadapi cabaran ini.

Adalah wajar saya menurunkan kembali kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diperakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut malam kelmarin, iaitu:

KENYATAAN MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

Jika kita mengamati ternyata kenyataan bersama ini mengakui wujud pelbagai pandangan yang berbeza mengenai hudud, namun pimpinan Pakatan dengan segala kematangan mereka dapat mengatasi perbezaan mereka dan bersetuju menerima hakikat demokrasi.

Pada pendapat saya, persetujuan bersama ini adalah langkah penting bagi Pakatan Rakyat untuk memperkukuh lagi kehadirannnya di tengah real politik Malaysia yang unik ini. Tentunya Pakatan Rakyat akan terus waspada dan mampu menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

Tiada ulasan: