Jumaat, 30 September 2011

UMNO-BN, Pakatan tidak akan laksana hudud

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Pakatan Rakyat akan terus memberi komitmen penuh kepada kepentingan dan kebajikan bagi rakyat dan sentiasa akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seperti mana yang terkandung di dalam Dasar Bersama Pakatan dan Buku Jingga.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan juga menjelaskan, demi mencapai kebaikan untuk semua rakyat, prinsip keadilan sejagat, pentadbiran yang baik, kebertanggungjawaban, ketelusan dan kompetensi akan dijadikan prinsip utama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini malam tadi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud kerana realiti keseimbangan masyarakat tidak mengizinkan undang-undang jenayah Islam itu dikuatkuasakan.

“Undang-undang hudud tidak akan laksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini adalah undang-undang Tuhan…jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.

“Jika ditanya para ulama sekali pun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu,” katanya kepada pemberita di Batu Gajah, Perak pada Sabtu lalu.

Malam tadi, Anwar yang membacakan kenyataan bersama Pakatan Rakyat menegaskan bahawa objektif utama Pakatan adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh UMNO-Barisan Nasional.

“Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini,” kata kenyataan itu.

Selain itu, mesyuarat tersebut memperakui dan menghormati perbezaan ideologi DAP, PAS dan PKR dalam Pakatan sebagai sebuah permuafakatan yang demokratik.

“PKR dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

“Mesyuarat juga menghormati kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat,” kata kenyataan itu.

Behubung isu hudud yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, Pakatan berpendirian hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama buat masa sekarang sehinggalah kesemua parti komponen bersetuju untuk melaksanakannya.

Dalam masa sama, Pakatan turut mempertegaskan tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak UMNO-BN untuk memecahbelahkan Pakatan.

Tiada ulasan: