Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar terlebih dahulu membentang dan melaksanakan projek pembangunan semula tapak flat di Jalan Pekeliling dan Jalan Kuching sebelum mendesak Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru. “Kenapa begitu terdesak untuk menubuhkan Perbadanan itu yang penduduk Kg. Bharu sendiri tidak bersetuju?” tanya ketuanya, Kamaruzaman Mohamad dalam kenyataan kepada Harakahdaily. DPPWP, katanya melihat pihak kementerian gagal dalam merujuk keutamaan perancangan pembangunan di Kuala Lumpur dan mengabaikan kehendak rakyat. Menurutnya, pada masa ini rakyat di Kuala Lumpur khususnya kalangan yang berpendapatan rendah mahu cadangan asal pembinaan semula tapak Flat Jalan Pekeliling dan Jalan Kuching dengan setiap unit rumah mempunyai 3 bilik berbanding sebelum ini diteruskan. Katanya, flat-flat berkenaan telah lama dikosongkan dan kini menjadi tempat pembuangan sampah dan aktiviti yang tidak bermoral. Menurutnya lagi, DPPWP yakin bahawa adanya kepentingan tertentu yang mahu menggadaikan tanah Kg Bharu yang letaknya di tengah-tengah Kuala Lumpur, sedangkan Flat Jalan Pekeliling dan Jalan Kuching agak jauh dari segitiga emas yang disebutkan dalam pelan transformasi negara baru-baru ini,” katanya. Disebabkan itu, ujarnya pembangunan di tapak Flat berkenaan dianaktirikan dan kontraktor yang diupah untuk meruntuhkan bangunan lama itu gagal menjalankan tugas sejak sekian lama. “Pihak Menteri dan DBKL perlu berikan jawapan di atas kegagalan itu,” ujarnya. Beliau menambah, tidak mustahil kegagalan yang sama berlaku kepada pembangunan Kampung Baru. Baginya, mula-mula sahaja ianya jadi panas, tapi bila masuk kepada fasa perlaksanaan pembangunan, semuanya akan jadi sejuk dan duit rakyat yang dilaburkan habis disapu oleh kontraktor kroni tanpa sebarang hasil. “Akhirnya penduduk Kg. Bharu juga yang jadi mangsa,” katanya. Justeru, katanya DPPWP bertegas agar pihak menteri bertanggungjawab dan memastikan tanah-tanah awam yang sepatutnya dijadikan tapak perumahan rakyat tidak digadaikan untuk kepentingan komersil. Menurutnya, masalah perumahan dan harga rumah yang mahal di Kuala Lumpur menyebabkan ramai rakyat tempatan di wilayah ini berpindah ke luar. S “epatutnya ini tidak berlaku jika tanah yang ada disusun atur kegunaannya untuk membina lebih banyak rumah-rumah kos rendah untuk rakyat selari dengan pembangunan zon-zon komersial yang ada,” katanya. DPPWP juga ujarnya, mengingatkan menteri agar tidak sesuka hati menyentuh tanah di kampung-kampung tradisi dan dan Kampung Baru dengan alasan pembangunan sebelum mendapat persetujuan penduduk. “Hormatilah hak rakyat yang telah puluhan tahun menjadi penduduk di Kuala Lumpur ini,” ujarnya. Kepada warga Kuala Lumpur, pastikan wilayah ini tidak digadaikan dan teruskan mengundi wakil-wakil rakyat Pakatan. |
Rabu, 28 September 2011
Bangun dulu tapak flat Pekeliling sebelum Kg Baru
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan