Empat penulis mendakwa penulisan mereka dipilih sebagai teks Komsas tetapi tidak terima royalti.
PUTRAJAYA: Empat penulis hari ini menghantar surat rayuan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan kegagalan mendapatkan royalti.
“Kita dah buat macam-macam menerusi DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), FMT (Free Malaysia Today). Sampai bila nak tunggu?”
Rohani Deraman, penulis cerpen Warkah Daripada Ibu dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius DBP menimbulkan persoalan.
Antologi tersebut digunakan untuk pelajar Tingkatan 2 di seluruh negara.
Pada peringkat awal cerpen diterbitkan pada 2001 oleh Penerbit Mega Setia Emas dan kemudiannya oleh Edu Quest Publisher pada 2007.
“16 Mac baru saya dapat tahu bahawa cerpen saya digunakan sebagai teks Komsas,” kata Rohani.
Menurut prosedur, penerbit wajib mendapat surat izin daripada penulis.
Dalam kes ini, DBP berfungsi sebagai pencetak dan royalti dibayar secara langsung kepada penerbit.
Menurut Rohani, Kementerian Pelajaran mendakwa surat izin telah dikeluarkan namun ia dinafikan beliau. Justeru itu, laporan polis dibuat 10 September.
Penulis Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes pula mendakwa novel Satu Pengajaran (2006) diberi tajuk baru Hikmah (2010) juga tidak diberi royalti oleh penerbit AED Sdn Bhd. Hikmah digunakan untuk tingkatan 1 di zon utara.
Hazama memberitahu bahawa peratusan royalti turut tidak dibincangkan.
Penulis puisi Seorang Insan Istimewa dan cerpen Budi Semangkuk Daging, Amy Suzani Mohd Ainuddin juga menimbulkan keraguan berkenaan surat izin palsu yang dikemukakan penerbit Nur Ilmu Sdn Bhd kepada Kementerian Pelajaran. Aduan Amy telah disampaikan menerusi wakil.
Izan Abd Hazes yang ditemui setelah surat rayuan dihantar ke pejabat Kementerian Pelajaran berkata: “Kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).”
Hazama dan Rohani pula mengharapkan semua penulis dan persatuan penulis berkenaan akan bersatu menentang penindasan ini.
“Ini bukan isu empat penulis sahaja tetapi melibatkan penganiayaan terhadap golongan penulis,” kata mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan