Isnin, 26 September 2011

Hudud: DAP perlu mencari penawar yang hilang

Wong Choon Mei, Malaysia Chronicle

Menjelang mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat Rabu ini tentang isu hudud – undang-undang Syariah yang dikatakan kontroversial, ramai pemimpinnya mula menunjukkan reaksi bertentangan. Sekian lamanya, senjata ampuh yang digunakan BN keatas DAP dan PAS, penyokong Pakatan Rakyat mengharapkan satu perubahan baru yang mampu menutup babak politik rakus yang memperjudikan agama oleh UMNO dan parti komponen bukan Melayu, terutamanya MCA.

Malang untuk DAP yang termakan umpan UMNO. Samada ia mahu kekal tulen kepada pengundinya, atau telah gagal dalam pertimbangan liberalnya oleh masyarakat bukan Islam tentang hudud yang mensasarkan terhadap enam perkara jenayah seperti berzina dan mencuri dengan hukuman yang keras. Dengan melakukan ini, DAP telah menidakkan hak dan aspirasi masyarakat Melayu, terutamanya di Kelantan yang mahukan hukum hudud.

Dengan ini, DAP telah cuai dalam mengambilkira sentimen dan aspirasi masyarakat Melayu, terutamanya di Kelantan, yang mahukan perlaksanaan hukum hudud ini.

Adunan untuk resepi sejahtera?

Penganalisa politik mengandaikan sekiranya Pakatan berhak bertanya, apakah hak UMNO dan MCA menafikan tuntutan agama hak orang Melayu yang sama sekali tidak melibatkan golongan agama lain, dan ia sepatutnya ditujukan juga kepada DAP.

“Pakatan harus menolak isu ini secara bersama. Undang-undang tidak boleh berbeza yakni, untuk UMNO dan MCA ada satu undang-undang dan untuk DAP ada satu undang-undang lain. DAP juga tidak boleh mempunyai satu undang-undang untuk bukan Melayu dan satu lagi untuk Melayu. Nantinya, orang Melayu akan berfikir bahawa DAP melayani mereka sebagai warga kelas kedua sama seperti orang Cina dilayani UMNO dan pengikut Melayunya,” Ujar pemimpin penganut Kristian dan mantan pengerusi NGO Transparency International, Ramon Navaratnam kepada Malaysia Chronicle.

Katanya lagi, “Faktor kaum adalah penting dan DAP mempunyai asas tunjang sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak-hak kaum Cina. Sejak kebelakangan ini, DAP telah mengembangkan sayapnya kepada kaum India dan segelintir orang Melayu. Mungkin inilah yang mewarnai ciri-ciri DAP yang melihat Malaysia dan orang Melayu seperti UMNO yang sering dilihat sebagai pro-Melayu, maka DAP kelihatan seperti parti pro-bukan Melayu.

Mendengar dan didengari masyarakat

Seperti warga Malaysia yang lain, Ramon terkejut dengan respon garis keras dari Setiausaha Agung DAP, YB Lim Guan Eng Ahad lalu. Mungkin, Menteri Besar Pulau Pinang itu merasa tertekan setelah MCA mendapat dokongan dari Perdana Menteri Najib Razak yang menyatakan kerajaan tidak akan melaksanakan hukum hudud. Walau apa pun alasannya, Guan Eng telah mengugut untuk DAP keluar dari Pakatan sekiranya PKR dan PAS setuju hukum hudud di Kelantan dilaksanakan.

Bagi pakar undang-undang UIA Aziz Bari, yang ke Kelantan baru-baru ini untuk mendapatkan reaksi masyarakat setempat, hudud diterima baik oleh penduduknya yang hampir 95 peratus adalah bangsa Melayu dan Muslim, di dalam negeri yang populasinya sekitar 2.4 juta.

Aziz menyatakan bahawa sentimen masyarakat tentang isu ini sangat kuat sehinggakan “pemimpin UMNO peringkat negeri sendiri mengutuk Perdana Menteri Najib Razak yang menolak sekeras-kerasnya hukum hudud. Kerana kenyataan itu, UMNO boleh tutup kedai di negeri Kelantan.”

“Tok Guru Nik Aziz bukan bodoh. Mereka memiliki laman Facebook sendiri dan melihat akan maklum balas yang diterima, PAS yakin kedudukan UMNO mulai tergugat di kawasan orang Melayu/Islam. Berdasarkan maklum balas di laman itu, tidak ada jaminan bahawa mereka akan mendapat undi dari bukan Islam,” ujar Aziz Bari yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

“Tidak ada persoalan menukar dasar Pakatan seperti yang didakwa oleh Lim Guan Eng kerana hukum hudud hanya untuk negeri Kelantan dan orang Islam sahaja. DAP salah sangka. Nik Aziz hanya mendengar dan bertindak mengikut sentimen akar umbi dinegerinya sahaja.”

Aziz Bari turut mengesahkan bahawa Nik Aziz mahu melakukan pungutan suara (referendum) sekiranya majoriti penduduk Kelantan mahu hukum hudud menjadi sebahagian daripada system mahkamah Syariah. “PAS tidak akan beralah. Bukan kerana degil, tetapi hukum hudud memang diterimapakai oleh majoriti penduduk Kelantan. Ia adalah satu contoh demokrasi yang jelas dan mudah. PAS di Kedah tidak melakukannya dan ini tidak mendatang apa-apa masalah,” ujar Aziz Bari lagi.

Pungutan Suara

Mungkin inilah masanya untuk DAP mencari penawar. Banyak yang mendakwa DAP mula riak akan kejayaan dan pengaruhnya. Ada sumber kementerian yang rapat dengan Najib mengalu-alukan situasi ini, dimana UMNO sudah bersedia menutup pintunya untuk MCA dan Gerakan yang prestasinya langsung tidak memuaskan.

Ketepikan spekulasi dan keriuhan politik sebentar, dimana teras kepada isu ini adalah dua isu penting iaitu aspirasi rakyat dan sifat rendah diri. Adakah kedua-dua ini tidak penting sama sekali? Untuk menjadi ahli politik dan pemimpin masyarakat, seseorang itu perlu menyerah diri kepada keputusan dan keinginan masyarakat keseluruhannya.

Apa yang akan terjadi sekiranya pungutan suara menunjukkan 60, atau 70 ataupun 80 peratus penduduknya menyokong pelaksanaan hukum hudud kerana mereka merasakan itu adalah kewajipan beragama? Apa yang akan Guan Eng dan Karpal Singh akan lakukan? Adakah mereka akan menyatakan bahawa mereka tahu semuanya, seperti Mahathir Mohammad dan juak-juak UMNO lain?

Dengan MCA dan UMNO ditanyakan soalan ini, adillah sekiranya DAP juga menyediakan jawapan kepada penolakan isu ini yang agak keras. DAP harus akur bahawa tingkahlakunya melukakan hati orang Islam di Kelantan dan orang Melayu di dalam Pakatan umumnya.

Sekiranya DAP terus menganggap bahwa PAS dan PKR tidak akan menang tanpanya, masanya telah tiba untuk Guan Eng dan Kit Siang meletakkan jawatan mereka bersama-sama pemimpin kanan parti itu.

‘Berjiwa besar’

Dalam pada itu, Pakatan telah mengarahkan organ parti masing-masing untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum hari Rabu ini. Walaubagaimanapun, sebelum pengumuman itu dibuat, Timbalan Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata walaupun isu ini kritikal, Pakatan sentiasa mempunyai jalan untuk menyelesaikannya sekiranya semua orang ‘berjiwa besar’.

“Jika kita tidak boleh menyelesaikannya hari ini, kita akan menyelesaikannya esok, atau hari lusa. Saya yakin kita akan berbincang dan menyelesaikannya. Kita mesti berjiwa besar dan akur untuk sepakat mencari penyelesaian,” lapor Malaysian Insider kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu hari ini.

Di Pulau Pinang, pemimpin PKR negeri Mansor Othman yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata adalah bodoh untuk Pakatan terus dibelenggu dan terperangkap bilamana isu hudud dimainkan oleh pihak media.

“Kita telah menyaksikan percaturan yang sama sebelum ini. Saya minta semua orang untuk tidak emosian dan bersikap rasional dalam membincangkan isu ini. Masanya telah tiba untuk kita bertanggungjawab dan dipercayai oleh masyarakat yang mempunyai harapan besar kepada kita,” ujar Mansor.

“Saya berharap pemimpin Pakatan yang akan bermesyuarat pada Rabu 28 September ini, menggunakan dengan wajar peluang ini demi menghasilkan satu keputusan yang membawa Malaysia ke tingkat yang lebih baik.”


Tiada ulasan: