Sebaliknya sejak awal dulu, pemimpin Umno biarpun mengaku Muslim sangat konsisten untuk menolak perlaksanaan syariat Islam ini.
PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September lalu berhubung isu pelaksanaan hukum Hudud.
“Kata sepakat dicapai dengan semua parti kompenan Pakatan mempertegaskan untuk saling kukuh mengukuh dalam perkara yang dipersetujui bersama seperti objektif, agenda, dasar dan prinsip yang terkandung di dalam Buku Jingga.
“Sementara dalam perkara yang berbeza seperti teras ideologi dan prinsip agama yang dianut meletakkan semua parti kompenan Pakatan untuk saling hormat–menghormati antara satu sama lain,” ujar Ketuanya Nasrudin Hassan Tantawi dalam satu kenyataan media.
Sambil memuji keputusan Majlis Pimpinan Pakatan itu, beliau menempelak Umno yang secara konsisten dan sejak dulu lagi menghalang hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud.
Tegas Nasrudin, “sangat jauh bezanya jika kita melihat bagaimana Umno-Barisan Nasional (BN) melayan hasrat PAS untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di negeri Kelantan.
“Sejak awal dulu, pemimpin Umno biarpun mengaku Muslim sangat konsisten untuk menolak perlaksanaan syariat Islam ini. Sudahlah mereka menolak syariat itu, mereka juga bertindak lebih nekad dan biadab apabila turut menghalang PAS yang mahu melaksanakannya.
“Umno gagal menjadi ‘budak baik,’ apabila mereka tidak mampu melaksanakannya, dia halang dan marah pula orang lain yang mahu melaksanakannya,” katanya.
MCA sergah Umno
Menurut beliau lagi, Umno bukan sahaja gagal menjadi ‘budak baik’ tetapi kelihatan sangat naïf dan gugup apabila tergesa–gesa Presidennya (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengeluarkan komitmen enggan melaksanakan hukum Hudud yang menjadi sebahagian dari Syariat Allah swt sebaik sahaja disergah MCA yang mengancam mahu keluar dari BN jika Umno melaksanakan hudud.
“Padahal MCA hanya acah–acah sahaja untuk meninggalkan BN kerana mereka terlebih awal tahu “perut pedal” Umno sangat “istiqamah” menentang dan enggan melaksanakan hudud,” katanya.
PAS telah membuat pengisytiharan sejak 1993 (sebelum wujudnya Pakatan Rakyat) untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 apabila Enakmen itu telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang dikuasai oleh PAS pada waktu itu.
Kemudiannya diperkukuhkan pula pengisytiharan itu pada tahun 2003 apabila Enakmen Jenayah Syariah tersebut dilulus dan digazetkan pula oleh Dun Terengganu apabila PAS menguasai negeri itu secara demokrasi.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri akan meneruskan hasrat untuk melaksanakan hukum hudud untuk masyarakat Islam di negeri itu.
“Pelaksanaan hukum hudud hanya menunggu masa sahaja dan parti itu akan mengambil kira situasi semasa,” katanya kepada para pemberita di pejabatnya di Kota Bharu semalam sambil mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada DAP dan PKR kerana menghormati hasrat PAS itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan