Khamis, 29 September 2011

Klip video: Adun Kota Anggerik lapor polis

Pegawai Khas Rezwan Alias menyangkal tuduhan sebuah blog pro-Umno yang didakwa cuba mencemar reputasi Yaakob Sapari.



PETALING JAYA: Gara-gara sebuah klip video skandal didakwa berlaku di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan (Adun) Kota Anggerik Yaakob Sapari, satu laporan polis dibuat oleh pegawai khas wakil rakyat itu hari ini.

Laporan itu dibuat jam 10.50 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan turut disertai pegawai Pusat Khidmat terbabit dan anggota Angkatan Muda Keadilan Shah Alam.

Pegawai Khas Adun Kota Anggerik, Rezwan Alias ketika dihubungi FMT berkata beliau menyangkal tuduhan sebuah blog pro-Umno yang didakwa cuba mencemar reputasi wakil rakyat terbabit dengan memaparkan klip video tersebut.

Menurut Rezwan, beliau menafikan dakwaan jurublog itu bahawa staf pusat khidmat itu terbabit dalam klip video berkenaan.

“Kita menyangkal dakwaan entri blog terbabit bahawa staf pusat khidmat Kota Anggerik terlibat dalam video itu. Kita sangkal memandangkan dekorasi dalaman tidak sama seperti yang dipaparkan dalam video tersebut.

“Maka kami minta agar polis segera mengambil tindakan wajar ke atas jurublog itu kerana ia dilihat satu strategi untuk menjatuhkan kredibiliti Yaakob Sapari secara tidak langsung,” katanya kepada FMT.

Katanya, terdapat tiga staf yang bekerja dalam pusat khidmat terbabit iaitu seorang wanita manakala dua lagi lelaki.

Klip video bertarikh 19 September itu memaparkan aksi seorang lelaki dan wanita sedang melakukan aktiviti tidak bermaruah dalam sebuah pejabat dengan tajuk entri ‘Video Klip Skandal Dalam Pejabat Adun Kota Anggerik Shah Alam’(http://medan-info-kita.blogspot.com/2011/09/panaas-pagi-isnin-video-klip-skandal.html)

Kelmarin, Yaakob Sapari turut menafikan pendedahan yang dibuat blog berkenaan sambil menyifatkan ia cubaan untuk memburukkan imej beliau dan para stafnya.

Tiada ulasan: