Khamis, 29 September 2011

Pemimpin: Sambutan 60 tahun ‘pemangkin’ PAS hadapi PRU-13




KUALA LUMPUR — Di sebalik siri cabaran dan kemajuan, PAS yang kini berusia 60 tahun akan berhimpun di Kepala Batas, Pulau Pinang hujung minggu ini - bukan sahaja untuk membuktikan ia sebuah yang konsisten dalam perjuangan tetapi menyuntik semangat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Sabtu ini, PAS yang kini dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan meraikan sambutan enam dekad kewujudannya di Kepala Batas - tempat kelahiran parti Islam ini dan rakan komponen Pakatan Rakyat.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menjelaskan sambutan kali ini amat penting dan signifikan memandangkan ia diadakan dengan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Kata beliau, ia juga membuktikan PAS semakin matang dalam perjuangan serta berubah mengikut peredaran zaman tanpa menggadai dasar dan prinsip asas parti.

“Ia satu perkara yang amat besar, penting dan signifikan kerana 60 tahun ini melambangkan betapa matangnya umur perjuangan PAS di mana sejarahnya bermula di Pulau Pinang sendiri, jadi ia sangat signifikan apabila tahun ini kita menyambutnya di Pulau Pinang.

“Ia juga menandakan perjuangan PAS yang terus konsisten menegakkan cita-cita perjuangan dengan mengikut kesesuaian zaman, rakyat boleh melihat dalam tempoh ini PAS bukan sahaja sebagai parti pembangkang tetapi telah berjaya buktikan kejayaan di mana kita pernah bersama dengan parti-parti lain termasuk pemerintah semasa zaman kerajaan campuran dan begitu juga kita telah buktikan keupayaan mentadbir negeri seperti Kelantan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Menurut Mujahid, jika hendak dibandingkan dengan parti-parti lain yang kebanyakannya sudah tidak wujud lagi, PAS yang mempunyai keahlian seramai satu juta orang berjaya keluar dari kepompong dan terus wujud dengan melahirkan generasi-generasi pelapis.

“Jadi bermakna PAS telah menyampaikan satu mesej selama 60 tahun ini, PAS bukan sekadar parti yang hidup tetapi hidup untuk menyumbang kepada negara dan mengejar cita-cita berlandaskan prinsip Islam,” kata beliau.

“... dan kalau dibanding dengan parti politik lain yang sebahagiannya sudah pupus dan tidak wujud lagi tapi PAS walaupun tidak pernah menguasai negara tetapi selama 60 tahun ini telah berhempas pulas dalam suasana demokrasi yang agak tidak sempurna is tetap meneruskan hidup dan melahirkan generasi baru seperti saya yang meneruskan menyampaikan cita-cita pengasas atau pemimpin-pemimpin awal,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar memberitahu, PAS yang kini bersama Pakatan Rakyat akan meneruskan perjuangan terutamanya untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13.

“Sudah tentu dengan perayaan 60 tahun ini, kita harap ia akan memberi impak kepada petugas-petugas parti yang akan bermotivasi apabila mereka mengimbau sejarah lampau agar mereka dapat teruskan cita-cita PAS sejak ia ditubuhkan.

“Ia juga menandakan keupayaan PAS yang tidak boleh dipandang ringan oleh kawan dan lawan, jadi pada saya 60 tahun ini sangat signifikan yang mana kalau kita lihat PAS telah lakukan banyak perubahan dan penjelmaan lekuk ketiga yang memperlihatkan PAS berada di persada dan bukan sahaja orang Islam menyokong PAS tetapi orang bukan Islam juga bersama dengan PAS,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menegaskan, sambutan 60 tahun akan menjadi satu anjakan dan lonjakan komitmen petugas dan pemimpin kepada parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Ia satu perhimpunan yang akan melonjakkan lagi komitmen PAS untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang mungkin akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Sambutan ini sangat signifikan untuk seluruh ahli PAS untuk mengambil satu semangat daripada perhimpunan 60 tahun ini dan melihat keseluruhan latar belakang sejarah perjuangan PAS yang bermula sejak 1951 dan akan menyuntik semangat dan komitmen yang mana kami adalah generasi yang bertanggungjawab untuk melangsungkan kecemerlangan ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menjelaskan bahawa walaupun banyak perubahan telah berlaku, namun PAS tetap berpegang kepada prinsip perjuangan yang tidak akan digadai sama sekali.

“Ini penting terutamanya semasa kita sekarang mempunyai konsep negara berkebajikan dan kita harap perhimpunan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk kita jadikan topik ini sebagai topik perbahasan dan agenda terpenting. Ini adalah penting untuk pimpinan semua peringkat, untuk kita satukan dan memperkukuhkan kembali fikrah dan terus melangkah ke hadapan menghadapi pelbagai cabaran.

“Kita perlu terus berdaya maju dan berdaya saing di samping menjadi parti yang benar-benar dapat keluar dari kongkongan bangkangan semata-mata tetapi sebagai sebuah parti yang dapat menyediakan pelbagai alternatif yang dapat kita tawarkan bagi menggantikan Umno-BN,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS dilihat mempunyai harapan cerah untuk menggantikan Umno seterusnya mentadbir negara bersama Pakatan Rakyat.

“Sambutan 60 tahun ini membuktikan PAS mempunyai dasar yang tepat dan teguh, tidak pernah berubah dasar walaupun tidak pernah memerintah negara tetapi kekuatan kita bertahan membuktikan PAS mempunyai masa depan cerah bersama Pakatan Rakyat.

“Dan, kita lihat dalam tempoh 60 tahun ini kita berjaya melebarkan sayap perjuangan parti dengan mengadakan kerjasama politik dengan DAP, PKR dan kita telah wujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mana kita mendapat sokongan yang baik di kalangan orang bukan Islam,” katanya.

Kata beliau, sambutan 60 tahun itu dianjurkan dengan tujuan untuk mengembalikan semangat perjuangan PAS kepada generasi baru terutamanya tentang pimpinan terdahulu yang telah banyak berkorban.

“Objektif himpunan ini adalah untuk kembalikan sejarah perjuangan PAS termasuk jatuh bangun PAS, pemimpin dan sejarah PAS selama 60 tahun ini yang mana kita fikir generasi baru patut didedahkan dengan sejarah lampau.

“Perhimpunan ini juga akan menjadi medan untuk membersihkan PAS dari tuduhan-tuduhan liar yang banyak menyerang kita selama ini,” katanya.

Sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum ke-13, Tuan Ibrahim menegaskan sambutan itu juga akan menjadi pemangkin membangkitkan semangat ahli untuk menghadapi BN.

“Melalui perhimpunan ini kita juga mahu mengembalikan semangat kekuatan pimpinan dan ahli dengan kita mengadakan satu munajat perdana pada malam 30 September yang akan dipimpin Mursyudil Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS di pekarangan Dewan Millenium, kemudian disusuli dengan forum sejarah perjuangan PAS.

“Pada 1 Oktober pula selain ucapan pimpinan tertinggi turut diadakan adalah pameran sejarah PAS, ekspo dan pada sebelah malam akan ada ceramah dari pimpinan Pakatan Rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: